Carian
TikTok Cakna Terhadap Kepentingan Ibu Bapa Dalam Memantau Aktiviti Anak Di Media Sosial
May 29, 2024 Farah Izzati

Peranan ibu bapa zaman kini semakin mencabar kerana pengaruh media sosial yang semakin berleluasa dan mungkin mempengaruhi anak-anak kelak. Oleh itu, TikTok sebagai sebuah syarikat sosial media gergasi telah mengadakan sebuah forum untuk membincangkan mengenai kepentingan dan cabaran ibu bapa dalam mengawal kandungan yang diambil oleh anak-anak.

Forum ini disertai bersama beberapa panel iaitu Mediha Mahmood dari Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Anuar Fadzil dari Polisi Awam TikTok Malaysia, Isabelle Lai dari Kumpulan Sumber Keluarga Ibu dan bersama dua pempengaruh TikTok iaitu Sufina dan juga Danish.

Menerusi forum tersebut beberapa isu telah dibangkitkan antaranya seperti adakah ibu bapa benar-benar celik digital? Anuar menekankan bahawa ibu bapa perlu sekurang-kurangnya mempunyai kemahiran digital asas seperti kecekapan menggunakan telefon pintar. Selain itu, persoalan mengenai keperluan silibus berkaitan digital diperkenalkan di sekolah ataupun hanya memerlukan inisiatif ibu bapa sendiri dalam menerapkan pembelajaran digital di rumah juga turut diketengahkan.

Menurut Isabelle, pendidikan literasi digital harus diperkenalkan ke dalam silibus kerana sekolah boleh memainkan peranan dalam mendidik anak-anak tentang cara untuk menggunakan media sosial dan internet dengan lebih baik dan beretika. Malah, Mediha menekankan kepentingan mendidik anak-anak tentang literasi digital dari usia muda dan ini bukanlah perlu dimulakan dari pembelajaran di sekolah.

Dalam erti kata lain, ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang penting dalam memupuk literasi digital kepada anak-anak. Ini termasuklah topik penting seperti persetujuan antara dua pihak sebelum berkongsi maklumat, privasi dan memahami perbezaan antara perkara yang betul dan salah dalam talian.

Sufina juga memberikan penekanan kepada ibu bapa mengenai kepentingan memupuk hubungan positif dengan anak-anak. Menurutnya, daripada menolak keterujaan anak-anak mengenai platform baharu seperti TikTok ini, ibu bapa juga boleh bersama-sama menerokai aplikasi tersebut. Baginya, pendekatan seperti ini mampu mencipta pengalaman yang bernilai untuk anak-anak disamping memupuk komunikasi terbuka antara ahli keluarga.

Selain itu, mereka turut mengetengahkan isu mengenai masa penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak di rumah. Menurut pandangan Mediha sebagai seorang ibu, beliau menyedari mengenai bahaya dalam talian seperti penipuan yang menyasarkan kanak-kanak sehingga mereka berkongsi maklumat sulit seperti alamat rumah dan sebagainya.

Dengan itu, Mediha mencadangkan bahawa menetapkan had masa penggunaan adalah paling berkesan. Bahkan, paling pentingnya lagi, ibu bapa juga seharunya menjadi teladan dengan mengurangkan masa penggunaan mereka sendiri di hadapan anak-anak.

Menerusi forum ini juga, timbul persoalan tentang bagaimana pula untuk mendidik ibu bapa mengenai literasi digital? Sufina mencadangkan bahawa platform media sosial itu sendiri boleh memainkan peranan dalam mendidik ibu bapa tentang literasi digital. Ibu bapa boleh menyertai platform seperti TikTok dan menggunakannya untuk berhubung dengan ibu bapa lain dan berkongsi mengenai keselamatan digital.

Forum ini merupakan salah satu inisiatif dari pihak TikTok Malaysia dalam usaha untuk memberikan pendedahan kepada ibu bapa tentang kepentingan celik digital pada masa kini dan memantau aktiviti anak-anak di media sosial. Usaha ini turut memberi peluang kepada ibu bapa untuk saling memberikan pendapat dari pelbagai aspek. Menurut TikTok, had umur 13 tahun merupakah salah satu usaha TikTok untuk mewujudkan ruang selamat untuk kanak-kanak menggunakan aplikasi TikTok.

Komen