Carian
Logo Apple Pada iPad Mungkin Diubah Orientasi Ke Kedudukan Landskap
May 29, 2024 Effi Saharudin

Bagaimanakah anda menggunakan sebuah iPad? Menegak atau pada kedudukan landskap? Menerusi perhatian kami di pejabat, kesemua pemilik iPad mengaku menggunakan tablet mereka pada kedudukan landskap. Maka persoalannya kenapa logo pada iPad masih lagi diletakkan pada kedudukan menegak sama seperti di belakang iPhone?

Tetapi kelak ini mungkin akan berubah. Dalam temubual bersama laman Numerama, Molly Anderson salah seorang kakitangan Apple yang terlibat dengan rekaan iPad Pro dan iPad Air baharu mengatakan logo ini mungkin akan diubah orientrasi kedudukan landskap pada model iPad akan datang.

Ini kerana majoriti pemilik iPad menggunakannya pada kedudukan ini. Tahun ini, kamera pada iPad Pro dan iPad kini telah diubah ke bahagian landskap dan bukan lagi di bahagian bezel atas seperti sebelum ini. Ini akan memudahkannya digunakan seperti sebuah komputer riba MacBook.

Magic Keyboard untuk iPad sendiri hanya menyokong ia disambung pada kedudukan landskap.
Jika orientasi logo Apple diubah, iPad selepas ini akhirnya akan mempunyai rekaan yang selari dengan logo Apple di belakang kesemua MacBook.

Komen