Carian
Operasi Rangkaian Botnet 911 S5 Yang Terbesar Dunia Lumpuh – Suspek Ditahan Di Singapura
May 30, 2024 Effi Saharudin

Pihak Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pagi ini mengumumkan operasi kumpulan 911 S5 yang merupakan rangkaian botnet terbesar dunia telah berjaya dilumpuhkan. Dalam operasi yang turut melibatkan agensi penguatkuasa undang-undang Singapura, Thailand, dan Jerman, YunHe Wang yang dipercayai ialah pentadbir operasi 911 S5 telah berjaya diberkas di Singapura.

YunHe Wang seorang warga China dipercayai adalah dalang 911 S5 yang dipercayai menjangkiti jutaan komputer di seluruh dunia dengan 19 juta IP. Perisian hasad 911 S5 dipasang pada komputer mangsa menggunakan aplikasi VPN seperti MaskVPN, DewVPN, PaladinVPN, ProxyGate, ShieldVPN, dan ShineVPN.

Sebanyak 23 domain yang digunakan untuk operasi turut telah disita dan diambil alih oleh pihak berkuasa. Sepanjang tempoh operasi 911 S5 antara 2014 hingga 2022, YunHe Wang dipercayai menjana pendapatan berjumlah $99 juta dengan memberikan akses kepada penjenayah siber melakukan aktiviti godam, penipuan kewangan, dan penyebaran imej lucah kanak-kanak. Jika didapati bersalah, YunHe Wang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 65 tahun.

Komen