Carian
Iyo One Adalah TWS Premium Dengan AI Generatif
May 30, 2024 Fahim Zahar

Nampaknya masih ada pengeluar peranti ingin cuba menjadikan peranti fizikal kecerdasan buatan generatif sebagai satu realiti. Humane AI Pin yang dikecam kini mencari pembeli untuk menjual syarikat mereka dan kemudian Rabbit R1 turut dikecam dan telah terbongkar dengan bukti yang ia hanyalah peranti Android dengan ChatGPT dan kod ringkas memberi arahan bukannya AI. Terbaru cuba mengubah pasaran adalah Iyo One, TWS dengan AI generatif terbina.

Iyo menyasarkan One sebagai TWS premium pelbagai fungsi. Jika pengguna tidak ingin memanfaatkan ciri AI, One dijanjikan boleh digunakan sebagai TWS dengan audio berkualiti tinggi untuk penggunaan profesional. Iyo tidak mendedahkan spesifikasi spesifik untuk One, tetapi antara ciri menarik adalah ia menyokong penjejakan kepala untuk audio imersif. Iyo One turut menyokong perlindungan IP68 dan direka dengan bilet titanium pada panel bulat gergasi yang turut menjadi aksesori fesyen gaya moden.

Ciri AI pada Iyo One adalah penterjemahan masa nyata, pelatih senaman AI, serta akses kepada ekosistem Iyo untuk kawalan suara kepada pelbagai aplikasi yang menyokong Siri dan Alexa. Menguasakan ciri AI ini adalah cip 4-teras 4nm yang dipadankan dengan memori 2/32 GB, menyokong 4G, WiFi dan GPS.

Terdapat tiga pilihan warna iaitu ocean, polar, dan night yang hanya akan didedahkan nanti. Putik telinga Iyo One dikatakan mengikut konsep Iyo Vad Pro iaitu IEM profesional mereka yang berharga $1,650. Iyo One dijual pada harga $599 (~RM2,820) untuk WiFi 16GB dan $699 (~RM3,292) untuk WiFi + 4G 32GB. Setiap ciri AI tidak memerlukan sebarang langganan dan percuma seumur hidup. Turut perlu diingatkan yang Samsung Galaxy Buds terpilih sedia menyokong salah satu ciri AI dan Nothing Ear baharu juga mengintegrasikan ChatGPT – kedua-dua dijual pada harga lebih mampu milik.

Komen