Carian
Konsol Mudah-alih ZOTAC Zone Diacahkan – Akan Diperlihatkan Di Computex
May 30, 2024 Nazrin

ZOTAC ialah jenama pembuat komponen komputer yang cukup terkemuka, khususnya untuk penawaran kad grafik mereka. Mereka baru sahaja mengacahkan penawaran produk akan datang mereka, ZOTAC Zone, iaitu sebuah konsol PC mudah-alih seperti ASUS ROG Ally, Lenovo Legion Go, MSI Claw dan sebagainya.

Buat masa ini, tidak banyak yang diketahui mengenai konsol ini, kecuali bahawa ia mempunyai paparan skrin AMOLED bersaiz 7.0 inci dan mempunyai butang picu dengan ciri ubah-suai dua tahap seperti apa yang ditawarkan pada beberapa alat kawalan permainan seperti ASUS ROG Raikiri Pro.

Tidak banyak butiran lain yang dapat diperlihatkan mengenai konsol ini, tetapi terdapat ciapan di X/Twitter yang memperlihatkan lagi rekaan konsol ini, yang pada pendapat saya kelihatan sedikit seperti penawaran ASUS ROG Ally dan juga MSI Claw. Satu keunikan yang dapat dilihat ialah ia mempunyai jaluran LED di bahagian belakang.

Kami menjangkakan bahawa ZOTAC akan memperlihatkan butiran lanjut mengenai konsol PC ini di acara COMPUTEX yang akan berlangsung pada minggu hadapan. ZOTAC bukanlah sebuah syarikat yang pertama kali menawarkan rekaan komputer yang unik, dan mereka juga dijangka akan memperlihatkan pelbagai pilihan lain di reruai mereka tidak lama lagi.

Komen