Carian
Pesakit Kencing Manis Berjaya Dirawat Di China
May 31, 2024 Effi Saharudin

Kencing manis (diabetes) ialah antara penyakit yang dikategorikan tidak boleh dirawat. Pesakit perlu menjaga pemakanan sepanjang hayat bagi mengelakkan komplikasi dan keadaan menjadi semakin serius. Terdapat dua jenis diabetes dan sekumpulan penyelidik dari Hospital Shanghai Changzheng mengumumkan mereka telah berjaya memulihkan sepenuhnya pesakit diabetes jenis 2 menggunakan rawatan sel tunjang.

Seorang pesakit berusia 59 tahun yang menghidap diabetes selama 25 tahun menerima rawatan pemindahan sel tunjang di pankreas pada tahun 2021. Selepas hanya 11 minggu, beliau tidak lagi memerlukan suntikan insulin. Setahun selepas itu pula, beliau tidak lagi memerlukan pil untuk mengawal gula dalam darah. Ini adalah insiden pertama dalam sejarah seorang pesakit diabetes jenis 2 berjaya dipulihkan sepenuhnya.

Kertas kajian rawatan diabetes menggunakan sel tunjang ini telah diterbitkan di dalam jurnal Cell Discovery dan merupakan hasil kajian selama sedekad. Penyelidik kini mengatakan lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk melihat tahap kemujaraban jangka panjang rawatan ini sebelum ini digunakan secara lebih meluas.

Rawatan untuk diabetes jenis 2 muncul di China adalah sesuatu yang bukan tidak disengajakan kerana ia merupakan negara yang menyumbang sehingga 25% jumlah pesakit global. Penggunaan sel tunjang untuk merawat diabetes juga bukan inovasi baharu. Pada tahun 2021, Brian Shelton dari Amerika Syarikat ialah manusia pertama yang pulih daripada diabetes jenis satu menggunakan rawatan sel tunjang yang dibangunkan oleh Vertex Pharmaceuticals.

Komen