Carian
Android Dikemaskini Dengan Ciri Baharu Seperti Menyunting Teks Messages dan Hotspot Automatik
May 31, 2024 Effi Saharudin

Google telah memberikan beberapa kemas kini baharu pada sistem operasi Android yang mengaktifkan ciri-ciri menarik. Pertama sekali ialah ciri menyunting mesej yang dihantar menerusi Messages. Mesej yang telah dihantar boleh disunting oleh pengguna selagi ia masih di dalam tempoh 15 minit. Ciri ini dapat digunakan kerana Messages menggunakan protokol RCS.

Seterusnya ciri Instant Hotspot juga diaktifkan dengan ia akan membolehkan hotspot pada sebuah peranti Android secara automatik digunakan pada peranti Chromebook atau tablet Android tanpa perlu memasukkan kata laluan.

Juga kini boleh digunakan ialah memindahkan sesi telesidang Google Meet yang sedang berlangsung ke mana-mana peranti peribadi berdekatan. Sebagai contoh panggilan bermula dari versi web tetapi disambung pada telefon secara pantas tanpa panggilan perlu dimatikan terlebih dahulu.

Widget untuk Google Home baharu juga mula diberikan kepada pengguna Public Preview. Menerusi widget, peranti berhubung (IoT) yang boleh dikawal dengan pantas menerusi widget tanpa perlu membuka aplikasi atau menu pada talam notifikasi Android.

Pada Wear OS pula, sokongan lebih banyak bayaran nirtunai juga diberikan pada jam tangan pintar. Kawalan peranti IoT terus pada Wear OS juga ditambah menerusi pintasan muka jam baharu. Akhir sekali Android kini menyokong kunci digital untuk beberapa kereta Mini dan kemudiannya akan menyokong Mercedes-Benz serta Polestar dalam masa terdekat.

Komen