Carian
Siri Sony ULT Power Sound Kini Di Malaysia, Harga Bermula Dari RM629
June 1, 2024 Fahim Zahar

Sony ULT Power Sound adalah siri produk audio baharu daripada Sony yang menyasarkan pengguna berusia muda dan kepada mereka yang menggemari muzik. Terdapat 4 produk yang diperkenalkan bulan lepas iaitu ULT TOWER 10, ULT FIELD 7, ULT FIELD 1 dan juga ULT WEAR. Kini kesemua produk ini telah dilancarkan di Malaysia secara rasmi. Siri ULT dikatakan adalah iterasi baharu kepada siri Extra Bass.

ULT Tower 10

Tower 10 adalah sebuah speaker gergasi yang dibangunkan khusus untuk kegunaan ketika ramai orang seperti jamuan, parti, pesta buku dan sebagainya. Speaker ini menggunakan teknologi audio ULT Power Sound yang memberi pengguna dua mod iaitu ULT1 untuk yang meningkatkan bass pada frekuensi kecil dan ULT2 untuk bass yang berdentum kencang untuk berdansa. Ciri Party Connect yang terbina pula boleh memadankan speaker ini dengan pelbagai speaker Sony lain untuk audio seakan panggung wayang.

Turut terbina adalah mikrofon untuk speaker mengesan hingar dan menala profil audio agar ia bersesuaian tidak kira situasi. 360° Party Sound dan 360° Party Light pula mampu memeriahkan lagi apa jua majlis dengan setiap nyalaan mengikut rentak muzik. Sony turut memastikan speaker ini sesuai dipadankan dengan gitar, disambungkan pada televisyen untuk pengalaman menonton imersif dan menyediakan mikrofon nirwayar untuk mod karaoke. Semua butang kawalan disertakan pada permukaan atas speaker.

ULT Field 7

Field 7 adalah Tower 10 versi mini kerana ia menawarkan ciri dan fungsi lebih kurang sama dengan perbezaan utama adalah ia direka untuk mudah di bawa ke mana sahaja. Ini bermakna speaker ini adalah jenis mudah-alih dengan bateri terbina yang bertahan sehingga 30 jam atau cas 10 minit untuk ia bertahan selama 3 jam. Mod karaoke, gitar dan sambungan ke televisyen dan Party Connect turut disokong tetapi tiada mikrofon nirwayar diberikan.

Mod bass ULT1 dan ULT2 dikekalkan. Walaupun Field 7 mempunyai sistem lampu, ia tidak menyokong 360° Party Sound dan 360° Party Light. Speaker turut hadir dengan pemegang terbina agar mudah untuk dialihkan. Butang kawalan semuanya pada hadapan speaker bukan di atas seperti Tower 10. Speaker ini turut mempunyai perlindungan IP67 agar ia boleh dimainkan di tepi kolam atau di pantai.

ULT Field 1

Lihat sahaja nama kita sudah tahu yang Field 1 adalah versi mampu milik kepada Field 7. Mod bass hanya ada satu dan tidak boleh diubah iaitu ULT1. Ia ada mikrofon tetapi untuk panggilan telefon bukan untuk menala profil audio dan direka untuk bersaiz lebih kecil. Ia juga boleh diletakkan sama ada dalam menegak atau melintang dan Field 1 turut menyokong perlindungan IP67.

Bateri bertahan selama 12 jam, ia menggunakan sambungan Bluetooth jadi selain memainkan video atau muzik ia turut boleh dijadikan untuk menjawab panggilan telefon. Sony tidak menyertakan ciri pembantu maya terbina tetapi tiada masalah untuk seru dengan telefon dan jawab serta dengar maklum balas pada Field 1. Empat warna ditawarkan iaitu Hitam, Off-White, Forest Grey dan Jingga.

ULT Wear

Ini adalah satu-satunya set fon kepala dalam siri Sony ULT. Sony cuba membawakan teknologi bass speaker Tower 10 mereka ke dalam ULT Wear. Ia mempunyai butang mod bass ULT1 dan ULT2, dijana dengan cip Sony V1 yang sama pada siri 1000X dan menggunakan pemandu audio direka khas untuk Wear. Ciri menarik pada set fon kepala 1000X seperti pembatalan hingar aktif turut disediakan, butiran audio jelas seakan rakaman studio turut boleh dinikmati, dan direka untuk mementingkan keselesaan pengguna.

Sensor cahaya ambien terbina boleh menjeda muzik secara automatik apabila ULT Wear ditanggalkan. Sambungan Bluetooth turut menyokong dwi-peranti serentak, bateri bertahan selama 30 jam dengan ANC dan 50 jam tanpa ANC. Hanya tiga warna ditawarkan iaitu Hitam, Off-White dan Forest Gray.


Setiap produk Sony ULT Power Sound ini dibina dengan plastik kitar semula sebagai sebahagian strategi Sony dalam menjaga alam sekitar. Mod ULT pada Tower 10, Field 7 dan Wear turut boleh dimatikan jika tidak ingin bass berlebihan. Setiap produk ini turut boleh dikawal dengan aplikasi Sony Headphones Connect.

Sony ULT Wear telah pun dijual sejak beberapa minggu lepas di kedai fizikal dan atas talian rasmi Sony serta melalui pengedar-pengedar sah. Untuk speaker-speaker, Sony melakukan pra-tempahan di Lalaport bermula semalam 31 Mei sehingga 3 Jun. Berikut adalah harga jualan berserta promosi yang ditawarkan;

  • Sony ULT Tower 10 – RM4,999
  • Sony ULT Field 7 – RM2,099
  • Sony ULT Field 1 – RM629
    • Untuk ketiga-tiga speaker –
    • Percuma botol air Montigo Ace 18Oz.
    • Percuma fon kepala Sony WH-CH520 bernilai RM229.
    • Peluang putar dan menang barangan Sony.
  • Sony ULT Wear – RM899
    • Percuma botol air Montigo Ace 18Oz.
    • Percuma speaker Sony SRS-XB100 bernilai RM259.
    • Peluang putar dan menang barangan Sony.
Komen