Carian
NVIDIA Project G-Assist Membantu Sesi Permainan Video Menggunakan Chatbot AI
June 2, 2024 Effi Saharudin

Kerap kali apabila berhadapan dengan teka-teki di dalam permainan video, saya akan pergi ke forum atau laman GameFAQ untuk mendapatkan penyelesaian. Jika permainan masih lagi baharu, jawapan hanya akan diketahui selepas beberapa hari. NVIDIA hari ini memperlihatkan Project G-Assist, sebuah chatbot AI yang membantu menyelesaikan pelbagai masalah dalam permainan video.

G-Assist boleh menerima soalan dalam bentuk teks dan suara yang diberikan oleh pemain. Ia kemudian akan menggunakan LLM yang dilatih menggunakan data pembangun permainan video untuk memberikan jawapan kepada pemain.

Sebagai contoh soalan mengenai senjata terbaik di peringkat awal atau senjata jenis apa yang paling berkuasa boleh ditanya kepada G-Assist. Ia juga boleh memberikan saranan tetapan terbaik untuk permainan video tertentu berdasarkan spesifikasi komponen PC pengguna. Dalam demo yang diperlihatkan, tetapan permainan akan diubah mengikut arahan pemain yang ingin memastikan kadar bingkai 60FPS yang stabil.

Menurut NVIDIA, G-Assist boleh diakses menerusi perkhidmatan awanan atau dijalankan sendiri pada PC yang mempunyai kad NVIDIA yang berkemampuan memproses AI. Pada waktu ini Project G-Assist masih sekadar demo yang belum sedia diberikan kepada semua. Ia amat sama dengan ciri Copilot untuk permainan PC dan Xbox yang diperlihatkan oleh Microsoft beberapa minggu yang lalu.

Komen