Carian
ASUS Zenbook S 16 Dilancarkan Dengan Copilot+, Ceraluminum Dan Siri AMD Ryzen AI 300
June 3, 2024 Fahim Zahar

Hari ini, ASUS telah melancarkan keluarga laptop AI mereka yang lengkap dengan Copilot+ serta ciri dan fungsi ASUS tersendiri yang turut menyokong pemprosesan AI dari dalam peranti. Salah satu siri yang dilancarkan adalah Zenbook, iaitu laptop produktiviti premium kelas mercu. Model terbaru adalah Zenbook S 16.

ASUS Zenbook S 16 hadir dengan skrin 16-inci beresolusi 3K. Nisbah paparan adalah 16:10, bezel nipis NanoEdge dan ia turut menyokong kadar segar semula 120Hz. Menariknya, laptop AI ASUS ini dijana dengan cip pemprosesan siri AMD Ryzen AI 300. Zenbook S 16 menawarkan pilihan sehingga AMD Ryzen AI 9 HX 370 yang dipadankan dengan memori 32 GB RAM LPDDR5x dan storan dalaman sehingga 2 TB PCIe 4.0 x4 SSD. Memandangkan ini adalah laptop AI, cip baharu AMD ini mempunyai kemampuan memproses AI 28W TDP dan 50 TOPS.

Laptop baharu ASUS ini menggunakan bahan binaan Ceraluminum yang memberi kemasan seakan panel seramik tetapi dengan ketahanan panel aluminium. Zenbook S 16 turut hadir dengan kipas penyejuk yang senyap berserta rekaan kekisi yang unik. Port sambungan pada laptop ini menawarkan 2x USB-C USB4, 1x USB-A USB 3.2, 1x bicu audio 3.5mm, 1x HDMI dan 1x pembaca kad SD. Bateri 78Wh dimuatkan dengan janji penggunaan kuasa lebih efisien.

Ciri AI yang disertakan pada Zenbook S 16 selain Copilot+ adalah mikrofon AI Noice Cancelation untuk sesi telesidang yang jelas dan lantang tanpa sebarang gangguan. Kemudian ASUS turut memperkenalkan kamera FHD AiSense IR yang menyokong Windows Hello, kunci peranti adaptif dan juga sokongan mod malap automatik. Cip sekuriti Micorosft Pluton turut digunakan memastikan keselamatan dan sekuriti seperti sokongan Windows Passkey.

ASUS turut menjadikan pad sesentuh 40% lebih besar untuk fleksibiliti pengguna dan juga lebih mudah menggunakan kawalan gestur pintar. Laptop ini adalah antara yang disahkan akan tiba ke pasaran Malaysia, tetapi masih belum didedahkan harga jualannya. Di Amerika Syarikat, laptop ini dijual pada harga bermula $1,399 iaitu sekitar RM6,585.

Komen