Carian
ASUS ProArt P16, PX13 Dan PZ13 Dilancarkan Sebagai Laptop AI Untuk Pencipta Kandungan
June 3, 2024 Fahim Zahar

ASUS turut melancarkan laptop siri ProArt baharu mereka lengkap dengan teknologi AI generatif hari ini. Ia merupakan laptop yang khusus untuk pengguna profesional dalam bidang kreatif seperti yang melakukan kerja suntingan foto atau video. Terdapat tiga laptop iaitu ASUS ProArt P16, ProArt PX13 dan ProArt PZ13.

Setiap laptop ini hadir dengan ciri AI tersendiri oleh ASUS iaitu StoryCube sebagai album yang boleh menguruskan gambar dan video dengan bijak. Kemudian adalah MuseTree iaitu penjana imej untuk membantu artis mencari inspirasi atau jurutera mencipta imej pengolokan produk. Semua ciri ini diproses dari dalam peranti dan memandang ia menjalankan Windows 11, kekunci Copilot untuk Copilot+ turut disertakan.

ProArt P16

Laptop ini menggunakan skrin OLED ASUS Lumunia 16-inci dengan bezel nipis beresolusi 4K dan mempunyai berat 1.85 kg. Ia turut dijana dengan pilihan cip AMD Ryzen AI 9 HX 370, dipadankan dengan GPU NVIDIA GeFroce RTX 4070 dengan kemampuan memproses AI pada kadar 321 TOPS. GPU baharu ini turut mempunyai ciri RTX AI untuk membantu mempercepatkan kerja-kerja berkaitan suntingan, produktiviti dan gaming.

Laptop ini turut memberi akses kepada perisian NVIDIA AI seperti NVIDIA Broadcast, RTX Video dan ChatRTX. Ketika pelancaran, ASUS tidak mendedahkan lagi spesifikasi penuh ProArt P16 kerana ia mungkin berubah mengikut pasaran yang berbeza.

ProArt PX13

ASUS turut ingin bersaing dalam pasaran laptop kompak kerana ProArt PX13 adalah sebuah laptop AI berkuasa tinggi bersaiz kecil dengan skrin Lumina OLED bersaiz 13-inci dengan bezel nipis dan engsel 360 darjah untuk digunakan dalam pelbagai mod berbeza. Pilihan cip sama seperti ProArt P16 iaitu siri AMD Ryzen AI 300.

ProArt PX13 juga adalah sebuah laptop NVIDIA Studio yang diiktiraf dengan RTX 4070 berkuasa sehingga 300 TOPS. Ia turut menyokong sambungan WiFi 7, dwi-port USB-C USB4 40Gbps, port HDMI 2.1 FRL, dan pembaca kad SD. Berat laptop ini adalah 1.38 kg dengan rekaan yang ringkas dan sangat sesuai untuk pengguna profesional.

ProArt PZ13

Model ketiga ini adalah yang terakhir untuk siri ProArt AI. Laptop ini adalah hibrid tablet seakan Microsoft Surface dengan menggunakan papan kekunci magnetik boleh tanggal serta kaki melalui aksesori magnetik. Laptop ini direka untuk menjadi lebih kecil dan kompak berbanding PX13 dengan berat peranti hanya 0.85 kg. Ia turut mempunyai perlindungan IP52.

Skrin adalah sama dengan PX13 iaitu Lumina OLED 13-inci dengan pilihan siri cip Snapdragon X untuk sokongan Copilot+ PC yang lebih baik. Slot kad SD turut dikekalkan bagi memudahkan para pencipta kandungan dan pengguna profesional. Butiran laptop ini turut akan didedahkan dalam masa terdekat akan datang.

Kesemua siri ProArt ini menjanjikan kuasa AI terbaik untuk pelbagai jenis tugasan lebih-lebih lagi kerja-kerja suntingan foto dan video. Untuk itu, ASUS bekerjasama dengan CapCut dan Adobe untuk memberi 6 bulan langganan CapCut Pro secara percuma dan 3 bulan langganan Creative Cloud percuma.

Harga jualan setiap laptop ProArt baharu ini adalah;

  • ProArt P16 – $1,899, bermula sekitar RM8,938.
  • ProArt PX13 – $1,699, bermula sekitar RM7,996.
  • ProArt PZ13 – Akan diumumkan nanti
Komen