AMD melancarkan sir cip AI terbaru mereka sebagai jawapan kepada Qualcomm Snapdragon X pagi ini di Taiwan sempena Computex 2024. Cip AMD Ryzen AI 300 mempunyai NPU dengan kemampuan memproses AI sehingga 50 TOPS menjadikannya cip AI dengan NPU paling berkuasa. Snapdragon X Elite menawarkan 45 TOPS manakala Apple M4 pula 38 TOPS.

Dua cip pertama yang diumumkan ialah Ryzen AI 9 HX 370 dan Ryzen AI 9 365. Kedua-duanya dilengkapi CPU Zen 5, NPU dari keluarga XDNA2, dan GPU RDNA 3.5 yang mempunyai sehingga 16 CU. Ryzen AI 9 HX 370 ialah cip yang lebih berkuasa dengan 12 teras, 24 bebenang dan kelajuan sehingga 5.1GHz serta grafik Radeon 890M. Sementara itu Ryzen AI 9 365 pula dilengkapi 10 teras, 12 bebenang dan kelajuan sehingga 5.0GHz serta grafik Radeon 880M.

Beberapa komputer riba terawal menggunakan cip siri AMD Ryzen AI 300 akan dilancarkan di Computex hari ini dan esok. Malahan semalam ketika acara NVIDIA, beberapa model komputer riba ASUS dan MS dengan cip AI terbaru ini diumumkan dengan ia dikategorikan sebagai RTX AI PC. Dengan kemampuan NPU yang tinggi serta GPU NVIDIA, kesemua RTX AI PC boleh menjalankan ciri baharu dalam Copilot+ PC yang diumumkan Microsoft beberapa minggu lalu.