Carian
Intel Lunar Lake Diperkenalkan – Cip Memfokuskan Kecerdasan Buatan Dan Kecekapan Bateri
June 4, 2024 Nazrin

Komputer riba yang menggunakan siri cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Meteor Lake kini baru sahaja mahu membanjiri pasaran, tetapi kini, di acara COMPUTEX Taipei, Intel telah memperlihatkan siri cip pemprosesan generasi ke-15 mereka untuk komputer riba yang dinamakan Intel Lunar Lake.

Cip pemprosesan Intel Lunar Lake memperlihatkan teknologi-teknologi sama yang digunakan pada Meteor Lake seperti penggunaan teknologi jubin bertindih yang memisahkan tugasan pemprosesan perkomputeran, grafik, AI dan kawalan komputer yang lain seperti grafik, paparan, input dan output dan sebagainya.

Hyperthreading merupakan satu ciri yang diperkenalkan oleh Intel dimana teras-teras dalam CPU boleh dibahagikan untuk menggerakkann tugas-tugas yang berbeza. Kebelakangan ini, Intel telah mengubah cara mereka menggunakan bebenang kuasa ini. Dengan pengenalan teras prestasi (Performance) dan kecekapan (Efficiency), Intel dilihat telah memperlihatkan ciri hyperthreading hanya pada teras prestasi.

Dengan Lunar Lake, Intel tidak lagi akan menggunakan hyperthreading kerana prestasi cip pemprosesan ini akhirnya sudahpun berada di satu tahap dimana komputer riba tidak memerlukannya untuk tugasan yang dijalankannya.

Malah, cip pemprosesan Intel Lunar Lake akan hadir dengan pilihan asas empat teras prestasi dan empat teras kecekapan sebagai spesifikasi asas. Pada Meteor Lake, cip-cip pemprosesan tersebut hadir dengan teras kecekapan berkuasa rendah (low-power E-cores) yang diaktifkan apabila komputer riba menggunakan kuasa perkomputeran yang sangat rendah.

Untuk Lunar Lake, kami diberitahu bahawa ciri komponen low-power E-Core ini sudahpun diserapkan kedalam teras E-Core asal, dimana penggunaan kuasa teras tersebut boleh diturunkan serendah yang mungkin (0.8-1.0W) dan boleh ditingkatkan dan diubah ke teras prestasi apabila diperlukan secara automatik.

Malah, Intel mengatakan bahawa dengan perubahan yang dilakukan pada Lunar Lake, penggunaan kuasa pada cip terbaru ini boleh dianggarkan 40 peratus lebih rendah berbanding dengan model sebelumnya, Meteor Lake. Penggunaan kuasa beberapa perisian seperti Microsoft Teams, misalnya adalah 35 peratus lebih rendah apabila dibandingkan dengan Meteor Lake.

Beralih kepada kebolehan kecerdasan buatan, cip NPU pada Lunar Lake memperlihatkan sedikit peningkatan dari 10 TOPS pada Meteor Lake kepada 48 TOPS pada siri CPU yang baru yang membolehkan komputer riba menggerakkan tugasan AI dalam komputer dengan lebih cepat dan cekap.

Satu lagi perubahan ketara ialah cip Lunar Lake akan hadir dengan memori terbina didalam cip, sama seperti apa yang diperlihatkan pada cip pemprosesan Apple Silicon dan cip pemprosesan mudah-alih yang ditawarkan oleh syarikat seperti Qualcomm dan MediaTek.

Cip pemprosesan Lunar Lake akan tampil dengan sokongan pilihan memori setinggi 32GB dan akan menggunakan modul memori LPDDR5X yang akan dipasang secara terus pada cip pemprosesan. Ini adalah berbeza dengan sebelum ini dimana cip memori dipateri pada papan induk.

Rekaan baru ini memperlihatkan komputer-komputer riba dengan papan induk yang lebih kecil, membolehkan jenama pembuat komputer riba untuk menambah sokongan pada komponen lain seperti storan tambahan ataupun bateri yang lebih besar.

Cip ini juga digabungkan dengan cip pemprosesan Intel Xe2 terbaru yang akan memperlihatkan peningkatan 1.5x prestasi grafik yang lebih baik berbanding dengan cip grafik Intel Xe sebelum ini, dan juga tampil dengan 67 TOPS untuk pemprosesan tugasan AI.

Digabungkan bersama-sama dengan kebolehan daripada bahagian CPU, Intel mengatakan cip Lunar Lake bakal tampil dengan kebolehan memproses tugasan kecerdasan buatan setinggi 120 TOPS, menjadikannya salah satu daripada cip pemprosesan dengan kemampuan AI terbaik yang akan tiba di pasaran kelak.

Apa yang lebih menarik lagi ialah cip grafik Xe2 ini juga akan tampil dengan lapan unit pemproses Ray-tracing terbina, dan Intel mengesahkan bahawa cip Xe2 ini juga akan digunakan didalam pembangunan kad grafik Intel Battlemage yang dijangka akan diperlihatkan sama ada pada penghujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan.

Komponen kawalan media pula memperlihatkan sokongan codec AV1 sama seperti sebelum ini, dengan penambahan sokongan codec VVC (Versatile Video Coding) yang menggunakan format H.266 untuk sokongan fail video yang lebih kecil tetapi dengan resolusi dan olahan yang tinggi.

Pengawal media dan paparan pada Lunar Lake juga memperlihatkan penambahbaikan, dimana pengawal paparan Lunar Lake menambah sokongan eDP 1.5, DisplayPort 2.1 dan HDMI 2.1 yang mana komputer riba diberi pilihan untuk menyokong tiga buah paparan melalui satu palam sahaja.

Selain daripada itu, Intel juga mengesahkan bahawa komputer riba yang dikuasakan cip Lunar Lake akan tampil dengan sokongan untuk sekurang-kurangnya dua palam Thunderbolt 4, dan penambahan untuk sokongan palam ketiga sekiranya diperlukan.

Intel mengatakan bahawa komputer riba dengan cip pemprosesan Lunar Lake ini akan diperkenalkan sekitar suku ketiga tahun ini, dan menjangkakan bahawa lebih 230 model komputer AI akan diperkenalkan.

Komen