Carian
ASUS ROG Mjolnir 1200W Ialah “Tukul Jana Kuasa” Mudah Alih Dengan Qi2
June 5, 2024 Fahim Zahar

Dengar sahaja Mjolnir pasti orang ramai akan teringat kepada watak Thor dalam mesta Marvel Cinematic Universe. Sebenarnya Mjolnir adalah tukul dengan kuasa petir daripada mitologi dewa Norse. Di Computex 2024, ASUS telah memperlihatkan ROG Mjolnir 1200W iaitu stesen jana kuasa mudah alih bertemakan tukul ini.

ROG Mjolnir 1200W masih lagi sebuah produk konsep kerana spesifikasi lengkap masih tidak didedahkan seperti kapasiti bateri. Walaupun begitu, pada saya ia adalah satu iterasi yang sangat menarik berbanding EcoFlow River 2 yang pernah kami ulas sebelum ini. Tangkai tukul pada Mjolnir 1200W ini adalah lampu suluh untuk kegunaan kecemasan yang boleh dicas secara nirwayar melalui pad pengecas Qi2 terbina di atas stesen janakuasa mudah alih ini.

ASUS turut menyasarkan pengguna laptop dan sistem komputer ROG jika mereka ingin bermain di luar rumah dan tidak terperap sahaja di dalam. Dengan kuasa 1200W ia boleh memberi kuasa 30 min sesi permainan dan 700W untuk 1 jam bergantung kepada jenis GPU. Dua port USB-C dengan Power Delivery 100W + 65W disertakan, dua port USB-A dengan kuasa 18W dan empat palam kuasa yang menyokong aliran elektrik mencapai 120 volt.

Teknologi bateri yang digunakan ialah litium besi fosfat (LiFePO4) dengan sistem perlindungan petir serta lonjakan kuasa. Tiada informasi didedahkan sama ada ROG Mjolnir 1200W ini akan dijual dalam masa terdekat. Sama-sama kita nantikan.

Komen