Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kini berkongsi mengatakan kerajaan dalam perancangan untuk memperkenalkan sebuah bingkai nombor plat khas untuk kenderaan elektrik – sekaligus membezakan ia dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman sedia ada di pasaran. Langkah ini dijangka akan lebih memudahkan dalam proses membezakan kenderaan elektrik dan juga kenderaan biasa, berbanding cadangan penggunaan nombor pendaftaran khas untuk kenderaan elektrik.

Sebelum ini, perancangan ini telah diutarakan dalam usaha memudahkan kerja penyelamatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membezakan kenderaan elektrik dan juga kenderaan enjin pembakaran dalaman sekiranya berlaku sebarang kemalangan, atau kebakaran.
Bingkai plat khas ini dijangka akan dipasang terus oleh pengeluar kenderaan ketika pembelian kenderaan, sebelum sesuatu kenderaan tersebut diserahkan kepada pembeli. Buat masa ini, info penuh berkenaan dengannya tidak dikongsikan lagi, dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat ini.