Carian
Corning Gorilla Glass 7i Dilancarkan Untuk Peranti Mampu Milik
June 5, 2024 Amy Maizuraa

Corning telah memperkenalkan kaca pelindung baharu dikenali sebagai Gorilla Glass 7i. Solusi baharu ini direka khusus bagi peranti kelas pertengahan berpatutan dengan kadar ketahanan jatuh yang lebih baik berbanding pesaing. Selain turut didakwa mencukupi untuk memberikan pelindungan yang optimum kepada pengguna.

Menurut Corning, kaca tersebut menggunakan saluran khusus yang boleh menahan hentakan dari ketinggian sehingga satu meter (3.3 kaki) pada permukaan kasar seperti asfalt. Selain itu, Gorilla Glass 7i juga dua kali tahan lebih calar berbanding kaca lithium aluminosilicate yang ditawarkan oleh pesaing. Hasil ujian makmal yang dilakukan mendapati Gorilla Glass 7i mampu bertahan sehingga satu meter pada permukaan kasar yang bersalut kertas pasir. Sementara itu pesaing pula hanya boleh bertahan pada tahap separuh ketinggian sahaja.

Corning juga mengatakan bahawa kaca tersebut dibangunkan sejajar dengan keperluan penggunaan paparan yang berkualiti dalam segmen peranti mampu milik. Kemudian tidak hanya tertumpu pada telefon pintar semata malahan Gorilla Glass 7i juga sesuai untuk peranti lain termasuk jam tangan pintar yang memerlukan kaca tahan calar dan lasak.

Oppo dikatakan bakal menjadi pengeluar terawal yang melancarkan telefon pintar dengan kaca berkenaan dengan butiran lanjut yang mungkin didedahkan tidak lama lagi.

Komen