Carian
Samsung Odyssey OLED, Smart Monitor dan ViewFinity 2024 Dilancarkan
June 5, 2024 Effi Saharudin

Samsung melancarkan beberapa monitor Odyssey OLED, Smart Monitor dan ViewFinity tahun 2024 minggu ini dengan setiap model kini hadir dengan beberapa ciri AI yang meningkatkan kualiti grafik yang dipaparkan.

Samsung Odyssey OLED G8 dan Samsung Odyssey OLED G6 ialah dua model monitor mercu untuk gaming. Odyssey G8 dilengkapi panel 32″ OLED 4K 240Hz manakala G6 pula dengan panel 27″ OLED QHD 360Hz. Kedua-duanya dilengkapi sistem Samsung OLED Safeguard+ yang mengelakkan masalah imej terbakar pada skrin OLED serta sokongan AMD FreeSync Premium Pro.

Kelebihan pada G8 ialah ia hadir dengan cip NQ8 AI Gen3 yang turut digunakan pada TV mercu Samsung 8K. Menerusinya grafik kualiti rendah boleh dipertingkatkan ke 4K menggunakan AI dan juga hadir dengan sistem operasi Tizen membolehkan ia digunakan seperti sebuah TV pintar tanpa sambungan input. Ia juga satu-satunya model dalam siri Odyssey tahun ini yang dilengkapi speaker terbina.

Seterusnya ialah Samsung Smart Monitor M8 2024, Samsung Smart Monitor M7 2024 dan Samsung Smart Monitor M5 2024 yang dilengkapi pula cip NQM AI. Ini membolehkan ciri pintar menjalankan aplikasi, meningkatkan kualiti grafik sehingga hampir 4K dan menganalisa audio persekitaran untuk tetapan audio paling sesuai. M8 hadir dengan skrin 32″ 4K, M7 dengan skrin 43” dan 32” 4K dan akhir sekali M5 dengan pilihan skrin 32″ dan 27″ FHD.

Sebagai model paling mercu, M8 menyokong audio 360 darjah menggunakan Galaxy Buds dan mempunyai kamera SlimFit yang menyokong panggilan video. Sokongan DeX turut diberikan sekali.

Akhir sekali ialah Samsung ViewFinity S8, Samsung ViewFinity S7 dan Samsung ViewFinity S6. Viewfinity S8 hadir dengan skrin 32” dan 27″ 4K 60Hz serta terdapat hab untuk USB serta sokongan KVM. ViewFinity S7 juga hadir dengan 32” dan 27″ 4K 60Hz. Sementara itu ViewFinity S6 ditawarkan dengan pilihan skrin 32”, 27″ dan 24” QHD serta kadar segar semula 100Hz. Model ini juga dilengkapi hab USB dan sokongan USB-C 90W.

Pada ketika ini harga jualan untuk kesemua model belum diumumkan lagi.

Komen