Carian
ASUS ProArt Cinema Q07 Ialah Paparan MicroLED 135 Inci Dengan Resolusi 4K HDR Dan Nilai Kecerahan 2000 Nits
June 5, 2024 Nazrin

Siri peranti dan perkakasan ASUS ProArt dibangunkan untuk kegunaan profesional industri kreatif, dan telah memperlihatkan banyak produk-produk untuk sektor tersebut. Terkini, ASUS telah melancarkan paparan skrin terbesar mereka dengan ASUS ProArt Cinema Q07 di acara Computex.

ASUS ProArt Cinema Q07 ialah paparan skrin MicroLED dengan saiz gergasi 135 inci yang memperlihatkan resolusi 4K dan mempunyai nilai kecerahan setinggi 2000 nits. Ia tampil dengan sokongan untuk teknologi HDR, dan boleh mengolah 95 peratus gamut warna DCI-P3.

Perbezaan paling ketara dengan penggunaan MicroLED berbanding dengan paparan OLED ialah setiap pixel pada televisyen ini terdiri daripada sekumpulan mentol MicroLED yang membolehkan paparan ini memperlihatkan olahan warna yang lebih cerah, dan warna hitam yang lebih jitu.

Saya telah bertanyakan samada ASUS akan memasuki industri paparan dengan televisyen ini, tetapi mereka mengatakan tidak. Paparan ini, sama seperti kebanyakan paparan ProArt yang lain akan dimanfaatkan oleh golongan profesional, khususnya dalam bidang perfileman untuk melihat bagaimana suntingan filem mereka, ataupun digunakan sebagai papan iklan dan pelbagai contoh penggunaan industri yang lain, cuma bukan untuk segmen pengguna biasa.

Setakat ini, ia tidak diketahui lagi bilakah ASUS akan mula menjual paparan ini, dan juga tanda harganya.

Komen