Mengikut beberapa kajian yang dilakukan oleh saintis, secara purata perempuan hidup lima tahun lebih lama berbanding lelaki. Faktor gaya hidup menyebabkan lelaki lebih awal menemui ajal. Jika anda seorang lelaki, seorang penyelidik kini mengatakan ada satu perkara yang boleh anda lakukan untuk hidup lebih lama.

Cat Bohannon seorang penulis dan penyelidik berkata hayat lelaki akan lebih panjang sekiranya mereka dikembiri. Ini berdasarkan data hayat sida-sida istana di Korea dan juga lelaki Amerika yang dimasukkan ke dalam hospital kerana isu kesihatan mental. Di pertengahan kurun ke-20, pesakit hospital mental dikembiri bagi mengelakkan mereka beranak pinak dan menghasilkan keturunan dengan penyakit yang sama.
Hormon seksual lelaki memainkan peranan kepada masalah kesihatan dan juga pemulihan sel dalam tubuh. Dalam satu kajian yang diterbitkan di laman NIH, proses penuaan pada kambing yang dibuang testis menjadi lebih perlahan berbanding kambing yang masih mempunyai “kejantanan” mereka.
Ini menimbulkan persoalan adalah anda sanggup membuang organ seksual semata-mata untuk meningkatkan kebarangkalian hidup lebih lama di muka bumi?