Cari @ Amanz

Synology Memperkenalkan Penawaran Storan Padat Dan Mudah-alih BeeStation Dan BeeDrive

Oleh Nazrin

Link Copied!

Synology, jenama pembuat storan yang cukup terkenal untuk penawaran storan NAS (Network-attached Storage) mereka hari ini telah memperkenalkan siri produk Synology Bee untuk pengguna biasa dan juga semi-profesional.

Produk-produk storan ini termasuklah Synology BeeDrive dan juga Synology BeeStation yang merupakan storan fizikal mudah-alih dan juga storan NAS yang padat dengan storan sudahpun terbina didalamnya.

Synology BeeDrive hadir dengan storan yang sangat padat sekali yang boleh dimuatkan didalam kocek seluar tanpa masalah. Ia hadir dengan pilihan storan 1TB, 2TB dan 4TB terbina, dan boleh disambungkan ke komputer menggunakan kabel USB Type-C ataupun melalui sambungan WiFi dan selular peranti pintar anda.

Dari segi kelajuan penghantaran data, Synology BeeDrive hadir dengan sokongan untuk palam USB 3.2 Type-C, dan mempunyai kadar penghantaran data 10Gbps. Ia juga hadir dengan ciri tahan lasak dimana komponen didalamnya tidak akan rosak walaupun dijatuhkan pada ketinggian 2 meter.

Dengan perisian BeeDrive, anda bukan sahaja boleh menyandarkan fail-fail anda kepada storan ini, tetapi sebaliknya juga. Anda hanya perlu memastikan storan BeeDrive disambungkan ke rangkaian WiFi atau selular yang sama, dan kemudiannya mengakses fail-fail anda melalui perisian untuk memuat-turun atau naik fail-fail ini ke dan dari peranti anda, tidak kira anda menggunakan peranti Android, iOS, Windows ataupun Mac.

Synology BeeStation pula tampil dengan fungsi yang hampir sama, tetapi ia merupakan peranti storan rangkaian peribadi anda di rumah ataupun pejabat. Anda boleh mengakses fail-fail didalam BeeStation tidak kira dimana anda berada, selagi peranti pintar ataupun komputer riba anda dan juga storan BeeStation disambungkan ke rangkaian internet.

Dengan storan BeeStation, anda boleh berkongsi akses kepada peranti storan ini kepada tujuh pengguna lain seperti ahli keluarga ataupun rakan-rakan terdekat dan kerja untuk memudahkan kolaborasi antara satu sama lain.

Synology mengatakan bahawa storan Synology BeeDrive dan Synology BeeStation ini sudahpun boleh dipra-tempah melalui kedai atas talian Synology Malaysia di Shopee dan Lazada pada harga permulaan RM892 (1TB) untuk Synology BeeDrive dan RM1417 (4TB) untuk Synology BeeStation.


Komen ()