Carian
Redmi 13 Kini Rasmi Dengan Kamera 108MP
June 5, 2024 Effi Saharudin

Redmi 13 kini dilancarkan secara rasmi dengan kamera utama 108MP. Ini adalah pilihan yang menarik kerana Redmi 13 ialah peranti mampu milik yang sekadar dilengkapi cip kelas permulaan MediaTek Helio G91 Ultra.

Peranti turut dilengkapi skrin 6.79″ LCD FHD dengan kadar segar semula 90Hz yang dipadankan dengan memori sehingga 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri pula sebesar 5030 mAh dengan pengecasan 33W.

Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 108MP dengan sensor Samsung ISOCELL HM6 yang dipadankan pula dengan sensor makro 2MP. Di hadapan pula terdapat kamera swafoto 13MP. Sistem operasi yang digunakan ialah HyperOS berasaskan Android 14.

Dari segi audio pula ia sekadar dilengkapi speaker mono tetapi masih mempunyai bicu audio 3.5mm. Selain itu storan boleh ditambah menggunakan kad mikro SD dan terdapat pengimbas cap jari sisi. Akhir sekali tubuh peranti ini melepasi piawaian IP53. Pada ketika ini hanya harga jualan di Eropah diumumkan bermula $180 (~RM850) sebuah.

Komen