Carian
UGreen NASync DXP480T Plus Diperlihatkan – NAS SSD Yang Dikuasakan CPU Intel
June 6, 2024 Nazrin

Sistem storan NAS ataupun Network-attached Storage ialah sebuah kelengkapan storan digital yang secara lazimnya menggunakan sekumpulan cakera keras untuk memudahkan penyimpanan dan akses kepada data dan fail-fail tanpa menyimpannya di komputer sendiri.

Di acara Computex Taipei, UGreen, sebuah jenama kelengkapan elektronik yang terkenal untuk penawaran pengecasan peranti mereka telah memperlihatkan salah satu penawaran NAS terbaru mereka, yang dinamakan NASync DXP480T Plus.

Tidak seperti banyak peranti NAS yang lain, NASync DXP480T Plus tampil dengan sokongan untuk storan SSD, dimana ia hadir dengan empat slot SSD M.2 2280 yang mana ia mampu menampung sehingga 16TB (4x4TB) storan terbina. Kami juga diberitahu bahawa dua daripada slot SSD ini menyokong PCIe 4.0, manakala dua lagi menyokong PCIe 3.0.

Bukan itu sahaja, NAS ini juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i5 generasi ke-12 dan boleh menampung sehingga 64GB memori DDR4. Untuk format storan, pengguna boleh memilih untuk menggunakan JBOD, RAID 0, 1, 5, 6 dan 10 bergantung kepada keperluan anda.

Satu lagi kelebihan yang diperlihatkan ialah pengguna boleh memilih untuk menyambung kepada NAS ini menggunakan antaramuka web yang terbina secara jarak jauh/WiFi ataupun menyambungkan NAS ini terus kepada sebuah paparan melalui sambungan HDMI yang terbina.

Apabila ditanya mengenai sokongan sistem operasi, kami juga diberitahu bahawa NASync DXP480T Plus ini boleh menggunakan sistem operasi Microsoft Windows dan juga Linux sekiranya dikehendaki, walaupun ia tidak diperlukan.

Storan NASync DXP480T Plus ini baru sahaja melepasi fasa biayasama di Kickstarter, dan akan dibangunkan untuk pengeluaran besar-besaran tidak lama lagi. Kami juga diberitahu bahawa fokus untuk produk ini akan diperlihatkan di rantau Eropah terlebih dahulu, selain daripada memenuhi permintaan pada Kickstarter.

Buat masa ini UGreen masih belum mengesahkan lagi jika mereka akan memperlihatkan penawaran produk ini di Malaysia ataupun rantau Asia Tenggara.

Komen