Carian
Pandang Pertama Acer Swift 14 AI – Padat Dan Berkuasa
June 6, 2024 Amy Maizuraa

Acara Computex pada kali ini memberi tumpuan terhadap teknologi kecerdasan buatan melalui inovasi aplikasi dan perkakasan. Terdapat banyak syarikat teknologi antarabangsa utama yang mengambil bahagian termasuklah Acer. Antara tumpuan media yang hadir adalah komputer riba Copilot+ baharu mereka iaitu Acer Swift 14 AI yang menampilkan pelbagai ciri AI yang dioptimumkan untuk produktiviti lebih baik. Susah alang-alang diberikan peluang melihat komputer riba tersebut dengan lebih dekat, saya rasa sesuai untuk keluarkan satu artikel pandang pertama untuknya bagi perkongsian bersama.


Spesifikasi

Nama ModelAcer Swift 14 AI (SF14-11 / SF14-11T)
Saiz Paparan14.5″ (2560 x 1600 piksel), 120Hz, 16:10
100% sRGB, Eyesafe Certified 2.0
PemprosesQualcomm Snapdragon X Plus
Qualcomm Snapdragon X Elite
Cip Grafik Qualcomm Adreno (3.8 TFLOPS)
RAMSehingga 32GB LPDDR5X-8533 (SDRAM)
Muatan DalamanSehingga 1 TB NVMe PCIe Gen 4 SSD
Kamera1440P QHD IR
Penutup kanta
Palam I/O2 x USB-C
2 x USB 3.2 Gen 1 Type-A
HDMI 1.4
Bicu audio 3.5mm
Ciri tambahanMicrosoft Copilot+
Butang copilot (AcerSense)
Butang AcerSense
Acer PurifiedView 2.0
Acer PurifiedVoice 2.0
Indicator Activity
SekuritiCap jari (Windows Hello)
Wajah (Windows Hello)
Bateri75 Wh Li-ion 3 sel
HargaBermula $1,099 (~RM5,161)

Rekabentuk

Acer Swift 14 AI mempunyai gabungan rekaan tubuh cukup baik dan bergaya dengan kefungsian berkenaan. Rekaan luarannya meneruskan konsep minimalis yang menjadi asas utama penghasilan mana-mana model dalam siri tersebut namun Acer bijak memberi kelainan lebih menarik untuk generasi baharu ini. Ia merujuk kepada ikon AI unik pada bahagian penutup dan Activity Indicator pada sudut kanan pada sesentuh yang menyediakan isyarat visual untuk status sistem.

Dengan berat kira-kira 1.36 kilogram mungkin ramai beranggapan bahawa komputer riba ini sepatutnya ringan untuk dipegang. Namun dalam pengalaman singkat saya mendapati ia terasa berat sehingga boleh menimbulkan ketidakselesaan pada tangan. Hal ini masih bergantung pada pendapat masing-masing kerana ianya bersifat sangat subjektif. Orang yang berbeza pastinya mempunyai tidak balas yang berbeza terhadap berat komputer riba ini.

Pujian bagaimanapun boleh saya berikan pada pemilihan bahan binaan aluminium berkualiti yang bukan sahaja memberi rupa mewah tetapi juga meningkatkan ketahanan. Saya juga menyenangi lapisan bertekstur yang disertakan kerana mampu melindungi komputer riba ini daripada calar, habuk dan kotoran cap jari. Engsel yang digunakan juga cukup kukuh dengan kebolehan membuka hingga 180 darjah.

Kemudian saya mencuba pula keupayaan skrin komputer riba ini dengan melakukan beberapa perkara umum seperti menonton video dan membaca artikel pendek dalam masa yang singkat. Secara peribadi hasilnya agak memuaskan dengan kemampuan skrin memaparkan olahan warna-warna yang terang, serta keupayaan mencapai tahap kegelapan yang lebih baik dalam warna hitam.

Skrin 14.5″ 120Hz WQXGA (2560 X 1600) yang digunakan juga kelihatan baik dengan nisbah aspek 16:9 yang diyakini mampu menyediakan ruang kerja cukup ideal untuk fungsi berbilang tugas. Terdapat juga kamera web QHD 1440P (menyokong Windows Hello) dengan penutup terbina yang melengkapinya bagi tujuan privasi lebih baik.

Di atas kertas skrin juga melepasi pensijilan Eyesafe Certified 2.0 bagi tujuan bantu mengurangkan silau dalam persekitaran yang terang. Sudah tentu juga skrin adalah sejenis sesentuh yang membolehkan pelbagai kawalan seperti klik, tatal dan zum boleh dibuat dengan pantas. Namun bagi mereka yang tidak mahu menggunakan skrin sesentuh tadi dengan kerap pula boleh sahaja memanfaatkan pad sesentuh yang disediakan.

Saiznya cukup besar dengan permukaan kasar yang menjadikan pergerakan jari diatasnya terasa lancar. Papan kekunci bersaiz penuh yang digunakan juga mempunyai sokongan lampu pada setiap kekunci. Paling mencuri perhatian tentunya penampilan butang Copilot khusus untuk akses pantas kepada fungsi Copilot dengan serta merta, atau mengaktifkan kunci menu dalam aplikasi. Selain adanya butang kekunci AcerSense khusus untuk mengakses perisian penyeragaman AcerSense dalam satu tempat. Butang kuasa pula boleh ditemui di sudut kanan atas yang juga diintegrasikan dengan fungsi pengimbas cap jari.

Seterusnya terdapat dua lohong udara dan dua kekisi audio untuk pembesar suara pada bahagian yang sama. Dua pelapik getah juga melengkapi setiap penjuru untuk memastikan kestabilan selain turut mengelakkan kesan calar pada bahagian bawah komputer riba. Pilihan sambungan juga memadai dengan dua port (Thunderbolt 4) USB Type-C, dua port USB Type-A, HDMI 2.1 dan bicu audio 3.5mm, beserta Bluetooth LE Audio untuk kualiti audio tanpa wayar yang lebih baik.


Komponen Dalaman

Dikuasakan oleh pilihan cip Snapdragon X Plus dan X Elite, Swift 14 AI mampu membawa era kecerdasan buatan ke tahap lebih baik. Kedua-duanya juga memiliki kuasa NPU (neural processing units) yang pantas bagi membolehkan tugasan kecerdasan buatan dilakukan terus pada peranti.

Lebih khusus lagi, cip Snapdragon X Elite dilengkapi 12 teras CPU Qualcomm Oryon berkelajuan 3.8 GHz dengan dua daripadanya boleh dilewah jam sehingga 4.3GHz apabila diperlukan untuk tugasan lebih berat. Ia juga dihasilkan menerusi teknologi 4nm dengan padanan GPU Adreno yang mempunyai kuasa mencecah 4.6 TFLOP. NPU Qualcomm Hexagon dengan kemampuan 45 TOP juga disertakan dan boleh menjalankan AI LLM dengan 13 bilion parameter secara terus tanpa data perlu dihantar ke awanan terlebih dahulu.

Sementara itu, Snapdragon X Plus pula dilengkapi 10 teras CPU Qualcomm Oryon dengan kelajuan sehingga 3.4GHz. Ini dipadankan pula dengan GPU Adreno baharu yang mampu memproses grafik sehingga 3.8TFLOPS. NPU Qualcomm Hexagon dengan kemampuan 45 TOP juga disertakan bagi tujuan menggerakkan tugasan kecerdasan buatan sistem operasi Microsoft Windows 11.

Padanan memori pula bergantung pada konfigurasi cip digunakan yang boleh mencapai 32GB LPDDR5X RAM dan storan 1TB PCIe Gen 4 SSD terbina. Bateri 75Wh tiga sel disertakan pula didakwa mampu memberikan masa penggunaan sehingga 26 jam lamanya. Selain turut mempunyai sokongan untuk Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4 sebagai pelengkap.


Era AI Baharu Dengan Copilot + PC

Mengklasifikan Acer Swift 14 AI sebagai komputer riba yang dipanggil Copilot Plus, sudah tentunya ada ciri baharu menarik yang lain daripada lain disediakan melaluinya. Saya juga sempat meluangkan sedikit masa mencuba satu persatu ciri yang ada bagi melihat bagaimana ianya berfungsi dalam dunia nyata.

Mulakan dengan ciri Windows Recall yang membolehkan komputer riba mengingati kesemua aktiviti yang dilakukan pengguna. Melaluinya terdapat garis masa khusus beserta masa dan tarikh yang boleh ditatal dengan mudah oleh pengguna untuk kembali ke carian atau halaman yang pernah dilawati. Dalam erti kata lain, ciri ini akan memaparkan gambar semua carian dan halaman yang pernah dilawati Kemudian pengguna boleh menatal kembali atau mencari sesuatu yang diperlukan.

Selain itu, ia turut boleh dikesan dengan hanya memasukkan kata kunci tertentu melalui ruangan disediakan. Namun demikian dalam perkembangannya, ciri Recall baru sahaja dikaitkan dengan sejumlah risiko sekuriti serius. Salah satu daripanya ialah kesemua tangkapan layar disimpan pada komputer dalam bentuk pangkalan data SQLite yang tidak disulitkan oleh Windows 11.

Teruskan lagi dengan ciri Cocreator pada aplikasi Paint yang boleh menjana imej dengan mudah. Secara teknikal, ciri ini membolehkan pengguna menjana imej berdasarkan prompt menggunakan model DALL-E. Pengguna digesa untuk menyatakan dengan jelas apa yang mahu dihasilkan oleh AI. Semakin spesifik prompt yang diberikan, semakin besar peluang untuk mendapatkan imej dengan semua eleman yang dimahukan. Seterusnya lebih lima pilihan gaya imej turut disediakan yang boleh mencipta kesan tertentu sesuai dengan konsep yang diingini.

Melalui ciri Live Caption pula pelbagai bahasa boleh difahami dengan mudah. Ciri ini menyediakan kapsyen yang diterjemah dalam masa nyata untuk mana-mana video yang sedang dimainkan. Sebanyak 44 bahasa yang disokong yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun saya sedikit ralat apabila ianya gagal berfungsi dengan baik sewaktu cubaan tadi. Kesannya saya tidak dapat melihat secara terperinci bagaimana kapsyen itu akan dipaparkan. Namun apa yang pasti terdapat tetapan khusus disediakan untuk meletakkan kapsyen tersebut di posisi yang selesa untuk pengguna.

Saya juga sempat mencuba ciri Windows Studio Effect yang mampu meningkatkan pengalaman panggilan video dengan lebih baik. Pelbagai tetapan dan penuras disediakan diyakini mampu menyediakan pengalaman panggilan video lebih berkualiti tinggi. Cubaan ringkas mendapati sehingga tiga penuras boleh dipilih dalam satu masa kemudian beberapa tetapan lain seperti keupayaan zum misalnya turut boleh diakses melalui tetapan utama kamera. Pengalaman itu bertambah baiknya lagi dengan ciri PurifiedView 2.0 yang mampu menawarkan pengalaman panggilan video dengan visual lebih jelas. Diikuti dengan Purified Voice 2.0 yang boleh meningkatkan kualiti audio. Acer User Sensing disertakan pula boleh mematikan skrin secara automatik sekiranya tiada pengguna, kemudian mengaktifkan semula apabila pengguna kembali.


Kesimpulan

Di atas kertas, Swift 14 AI kelihatan baik dalam semua aspek.Tetapi keadaan mungkin berubah dengan penggunaan yang panjang dalam dunia sebenar. Saya sendiri juga masih belum pasti tentang prestasi sebenar memandangkan hanya sempat mencubanya dalam masa yang singkat sewaktu pameran. Pujian bagaimanapun perlu diberikan kepada Acer kerana mampu menyediakan pilihan produk yang bukan sahaja berkuasa malah diyakini dapat meningkatkan produktiviti sehari-harian pengguna. Pengenalan Swift 14 AI juga boleh dianggap satu lonjakan besar Acer kearah menyiapsiagakan mereka mendepani masa depan khususnya bidang kecerdasan buatan dengan lebih serius sebagai usaha memenuhi keperluan semasa.

Komen