Nothing merupakan salah satu pengeluar peranti yang sedia menerima sokongan sejumlah pelabur, termasuk Google. Mereka telah sedia melancarkan telefon pintar dan juga fon telinga. Disamping menghasilkan peranti dengan rekaan agak unik, kini CEO Nothing, Carl Pei turut berkongsi perancangan masa depan syarikat berkenaan.
Melalui apa yang dikongsikan, Nothing kini memfokuskan kepada pembangunan pembantu maya dan integrasi kecerdasan buatan pada peringkat sistem operasi. Dengan langkah ini, pelbagai informasi boleh dipaparkan dengan mudah kepada pengguna – sekaligus mengubah telefon pintar kepada sebuah pembantu maya yang memudahkan pengguna berasaskan konteks sesuatu masa.

Beberapa contoh dipertontonkan oleh pihak Nothing, termasuk halaman utama yang menyusun pelbagai perkara mengikut keperluan seseorang pengguna. Disamping itu, sebuah pembantu maya berasaskan kecerdasan buatan turut dipertontonkan yang dijana khusus untuk setiap pengguna – dan boleh menjadi rakan perbualan pengguna. Pembantu maya ini juga hadir pada pelbagai bahagian dalam telefon pintar, hasil integrasi mendalam pada peringkat sistem operasi.

Nothing menyatakan integrasi awal kecerdasan buatan ini akan dilaksanakan bermula Phone (3) yang dijadualkan pada tahun 2025 kelak. Langkah ini juga disasarkan akan menjadi fasa seterusnya dalam arena peranti mudah-alih, dan Nothing sendiri menyasarkan kita akan memasuki fasa pasca-aplikasi melalui integrasi kecerdasan buatan ini.
Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan apakah Nothing akan perkenalkan seterusnya – dan bagaimanakah pelbagai pengeluar lain akan memberi reaksi untuk ciri ini.