Carian
Kingston Fury Impact DDR5 CAMM2 Diperlihatkan Bersama Dua Papan Induk Khas
June 6, 2024 Nazrin

Pada minggu lepas kami ada melaporkan bahawa papan induk MSI Project 0 mereka akan memperlihatkan penggunaan sebuah modul memori baru yang dinamakan CAMM2. Kelebihan memori ini diperlihatkan dari segi rekaannya yang mana ia hanya memerlukan satu keping memori untuk tampil dengan sokongan sehingga 32GB bersama dwi-saluran dan boleh dimanfaatkan pada pelbagai jenis papan induk tidak kira untuk desktop ataupun komputer riba.

Di acara Computex Taipei, Kingston telah menunjukkan sejumlah penawaran storan dan memori mereka, dan diantara yang menarik perhatian saya ialah memori CAMM2 mereka sendiri, iaitu Kingston Fury Impact DDR5 CAMM2.

Ia hadir dengan rekaan yang hampir menyerupai memori CAMM2 keluaran Micron sebelum ini, tetapi dengan sedikit perbezaan, dan buat masa ini, ia hanya hadir dengan satu pilihan storan sahaja, iaitu 32GB dalam konfigurasi dwi-saluran.

Kingston turut memperlihatkan dua papan induk dengan jenama berbeza yang tampil dengan sokongan untuk satu slot memori ini, iaitu MSI Project 0 dan juga ASUS Lengshuikeng. Memori Kingston Fury DDR5 CAMM2 dipasang kepada papan-papan induk ini melalui skru, dan kami diberitahu bahawa konfirgurasi pin untuk memori ini menyerupai LGA (Land Grid Array), dan ia dipasang dengan cara yang menyerupai bagaimana anda akan memasang CPU pada papan induk.

Penggunaan CAMM2 sebelum ini diwar-warkan sangat berguna pada komputer riba, tetapi untuk papan induk komputer desktop, anda kini mempunyai pilihan untuk menggunakan bongkah penyejukan CPU gergasi tanpa perlu risau samada RAM anda cukup rendah ataupun tidak.

Pihak Kingston turut mengatakan bahawa buat masa ini, satu-satunya perkara yang menghalang mereka daripada menjual memori Kingston Fury DDR5 CAMM2 ini ialah pengesahan rekaan daripada pihak JEDEC.

Menurut mereka, pengesahan rekaan ini adalah penting kerana kedua-dua pihak pembuat memori dan pembangun papan induk kemudiannya akan melihat bagaimana memori CAMM2 ini dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan.

Kerjasama diantara Kingston dan ASUS bersama dengan MSI mungkin salah satu usaha yang dilakukan untuk mempercepatkan proses pengesahan ini, dan ia tidak mengejutkan sekiranya papan induk dengan sokongan memori CAMM2 akan diperlihatkan pada penghujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan.

Komen