Carian
Suhu Purata Bulan Mei Lalu Tertinggi Sejak Rekod Mula Diambil
June 6, 2024 Effi Saharudin

Adakah anda merasakan bulan Mei lalu amat panas? Sekiranya ya ia bukan sekadar pendapat anekdotal kerana Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus mengesahkan bulan Mei tahun ini mencatatkan suhu tertinggi pernah dicatatkan sejak rekod diambil. Secara purata suhu bulan lalu adalah 1.52°C lebih tinggi berbanding suhu purata bulan Mei sebelum bermulanya zaman perindustrian (1850-1900).

ia juga adalah 0.65°C berbanding suhu purata bukan Mei tahun 1991-2020. Lebih merisaukan ialah rekod baharu suhu purata bulanan bumi kini telah berjaya dipecahkan 11 kali berturut-turut. Mungkin ada pembaca yang mengatakan peningkatan adalah sekadar 1.52°C sahaja dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Hakikatnya ialah ini ialah peningkatan purata global.

Bulan lalu suhu di Asia Tenggara adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dengan kematian dilaporkan di Thailand, Malaysia dan Vietnam disebabkan oleh strok haba. Satu kes berprofil tinggi tular di media sosial hanya dua minggu lalu apabila seorang pelajar kini menjadi OKU selepas dijemur di tengah panas oleh guru.

Ada yang mengatakan generasi kini lembik tetapi realitinya suhu di luar sana sekarang tidak sama dengan zaman ketika anda masih di sekolah dahulu. Perubahan iklim sedang berlaku di depan mata kita dan pengenalan cukai jalan EV yang lebih murah bukan penyelesaian jangka panjang yang efektif untuk mengelakkannya daripada terus berlaku.

Komen