YouTube telah mengemaskini garis panduan mereka berkenaan kandungan yang mengandungi senjata api hari ini. Perubahan pertama ialah kandungan mengandungi senjata api akan dihadkan kepada pengguna berumur 18 tahun dan ke atas sahaja.
Kepada pencipta kandungan pula, tutorial mengubahsuai senjata api yang melanggar undang-undang turut kini diharamkan. Contohnya ialah cara mengubah senjata semi-auto menjadi automatik sepenuhnya. Tutorial memasang aksesori yang melanggar undang-undang juga kini diharamkan seperti menghasilkan alat peredam bunyi menggunakan barangan di rumah.

Saluran yang melanggar garis panduan ini akan diberikan amaran terlebih dahulu dan video dipadam. Jika kesalahan sama berulang dalam tempoh 90 hari amaran diberikan, saluran akan diberikan satu strike. Jika tidak strike diterima saluran akan dipadam terus oleh YouTube.
Perubahan garis panduan YouTube ini hadir sekitar sebulan selepas Meta, Activision dan pengeluar senjata disaman oleh ibu bapa mangsa insiden tembak menebak di sekolah Uvalde Texas. Meta didakwa tidak meletakkan halangan pengiklanan senjata di Instagram. Sementara itu syarikat senjata pula disaman kerana mengiklankan produk mereka kepada pengguna bawah umur di Meta. Activision pula didakwa memasarkan senjata kepada pemain bawah umur menerusi siri Call of Duty.