Carian
Acer SpatialLabs Eyes Stereo Camera – Apa Yang Perlu Anda Tahu?
June 6, 2024 Amy Maizuraa

Acer bukanlah jenama yang biasanya dikaitkan dengan fotografi namun penawaran kamera baharunya dilengkapi dengan kelainan yang menarik. Di sini saya bercakap mengenai Acer SpatialLabs Eyes Stereo Camera yang menjadi tambahan baharu untuk rangkaian produk SpatialLabs 3D mereka. Seperti namanya kamera ini boleh merakam gambar dan video dalam 3D stereoskopik sekaligus membolehkan mata manusia melihat tiga dimensi yang diambil menggunakan dua imej dari sudut pandangan yang berbeza. Tetapi yang paling penting menurut Acer adalah pengguna tidak memerlukan sevarang cermin mata khusus. Memandangkan saya diberi peluang melihat kamera ini dengan lebih dekat rasa sesuai untuk keluarkan satu artikel ringkas bagi berkongsi mengenai cara penggunaannya.


Spesifikasi

Produk Acer Spatial Labs Eyes Stereo Camera
Saiz Paparan2.41″ LCD (640 X 640 piksel, 332PPI), H.264
Saiz sensor 1/2.8″ (D = 6.388mm) CMOS
Julat ISO Auto, Manual (100 – 1600)
Resolusi Foto7680 x 2160 (SBS atau SBS + L + R)
3840 x 2160 (SBS atau SBS + L + R)
Resolusi Video7680 x 2160@30 SBS
3840 x 2160@60 SBS
3840 x 2160@30 SBS (+HDR)
Resolusi Kamera Web Stereo3840 x 2160@60 SBS
3840 x 2160@30 SBS (+HDR)
Kelajuan Pengatup1/2000 saat
Kapasiti Bateri1500 mAh (min: 1480mAh, tipikal: 1515mAh)
PenstabilanBuilt-in 6-axis gyroscopic stabilization
​Supports IMU stabilization
​Video mode: EIS
Dimensi104 x 65.4 x 23.2 mm
220g

Rekabentuk

Acer menyatakan bahawa kamera ini boleh digunakan dengan mudah oleh semua golongan pengguna tidak kira sama ada anda sudah berpengalaman atau masih baharu dalam seni 3D. Acer telah memilih saiz yang bagus untuk SpatialLabs Eyes Stereo Camera yang dirasakan tidak terlalu besar atau kecil. Ia bersifat ringan, mesra pengguna, padat dan mudah disimpan di dalam poket. Dimensi tubuh ialah 10.4 x 6.5 x 2.3 cm dengan berat hanya kira-kira 220 gram.

Rekaan luar pula menampakkan kesan ranggi dan radikal dengan binaan tahan lasak yang boleh melindungi kamera dengan baik. Rekaan juga mempunyai tekstur matte yang benar-benar tidak mudah memerangkap kotoran sama sekali. Malahan lebih memberi cengkaman yang menyenangkan. Saya memegang SpatialLabs Eyes Stereo Camera yang bewarna hitam, dan rasanya tidak kira beberapa kali saya menyentuh bahagian tubuh namun kotoran tidak mudah kelihatan. Ia juga boleh diletakkan pada kedudukan yang baik di atas permukaan rata sekaligus memudahkan lagi penggunaan.

Pada bahagian hadapan terdapatnya dua sensor kamera dengan resolusi 8MP untuk setiap satu. Ia juga menyokong sistem penstabilan elektronik (EIS) yang sepatutnya mampu mengurangkan kesan gegaran sewaktu rakaman dibuat. Terdapat juga cemin kecil terbina disertakan yang amat berguna untuk pengalaman swafoto lebih baik. Saya juga perasan adanya dua lubang lubang kecil berhampiran sensor tadi yang diyakini mempunyai fungsi yang sama seperti mikrofon untuk bertindak balas terhadap bunyi sekeliling.

Pengguna boleh beralih ke bahagian belakang untuk mencari butang akses ke galeri kemera. Selain terdapatnya skrin sesentuh LCD bersaiz 2.41″ dengan resolusi 640 x 480 yang boleh dimanfaatkan untuk mengesan objek bergerak dan warna subjek dengan mudah. Kemudian suis khusus untuk menghidupkan atau mematikan kamera pula boleh ditemui di bahagian atas bersama sebuah pembesar suara terbina. Sebagai tambahan, SpatialLabs Eyes Stereo Camera juga masih dilengkapi beberapa ciri standard lain seperti pemasangan skru tripod, port USB-C untuk pengecasan dan slot kad mikroSD.


Komponen Dalaman

SpatialLabs Eyes Stereo Camera menggunakan sensor imej CMOS 8MP dengan panjang fokus 21mm bersama bukaan difragma f/2.0. Sensor juga menyokong julat ISO standard diantara 100 – 1600, di samping keupayaan kelajuan pengatup maksimum 1/2000 saat untuk penggambaran berterusan. Kemampuan rakaman boleh dibuat dengan kandungan foto dan video 3D sehingga resolusi 7680 x 2160 @ 30 fps dalam format SBS. Selain terdapatnya keupayaan auto-fokus dan EIS terbina untuk rakaman lebih lancar.

Kamera ini juga menyediakan kawalan manual lebih daripada memadai yang menjadikannya sesuai untuk penggemar yang sering memerlukan fleksibiliti lebih luas untuk penghasilan gambar. Ini termasuk kebolehan mengubah nilai ISO secara bebas, menetapkan keseimbangan putih, kelajuan pengatup dan memperhalusi lagi kualiti output untuk penghasilan imej lebih terperinci. Kemudian bagaimanapa pula dengan penggunaannya? Ianya mudah dengan hanya target pada subjek kemudian tekan butang shutter seperti kamera biasa.


Pengalaman Penggunaan

Tumpuan utama sudah tentulah lebih terarah pada kebolehan kamera membuat penstriman 3D masa nyata yang boleh dikongsi secara langsung menerusi platform yang menyokong seperti YouTube, Zoom, Google Meet dan Teams.

Penstriman langsung ke YouTube memerlukan penggunaan bersama Acer SpatialLabs Player versi terkini. Sementara itu, sokongan panggilan video 3D melalui Google Meet, Teams dan Zoom pula akan dinaik-taraf dengan keupayaan resolusi lebih tinggi mencapai 1080P. Di samping, keupayaan bokeh boleh disesuaikan melalui SpatialLabs Video Call Widget khusus yang dijangka tersedia sekitar Q3 2024.

Namun terdapat dua komponen utama yang diperlukan untuk tujuan tersebut iaitu kamera dan skrin yang menyokong teknologi Spatial Labs. Melaluinya kamera boleh menjejak pergerakan subjek seterusnya menggabungkan imej menjadi kandungan 3D. Secara peribadi saya berpendapat bahawa ia mampu memberi pengalaman yang baik namun mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri.

Saya menjadi sedikit pening pada mulanya dan memerlukan beberapa minit untuk membiasakan diri melihat kandungan yang dipaparkan. Hasil pemerhatian juga mendapati jarak turut memainkan peranan yang penting untuk pengalaman dengan tumpuan terbaik. Kemudian pergerakan yang terlalu banyak juga boleh mengakibatkan pening kepala berlaku.

Saya juga berpendapat ia amatlah sesuai digunakan dalam kalangan peniaga dalam talian yang giat melakukan strim langsung (live streaming) mempromosikan barang jualan untuk menatik pengguna membeli. Demo yang diperlihatkan juga berjaya mengubah barang-barang menjadi tampilan 3D yang dapat dilihat oleh saya secara terus tanpa memerlukan peralatan khusus. Ia juga dirasakan sesuai buat mereka yang mahu menikmati pengalaman permainan 3D yang lancar.

Cuma kekangannya ialah pengguna perlu memiliki rangkaian produk yang menyokong teknologi SpatialLabs ini untuk pengalaman yang lancar dan boleh disesuaikan. Kamera ini bagaimanapun masih boleh digunakan seperti biasa cumanya seperti yang diperkatakan tadi pengguna memerlukan produk yang menyokong teknologi Spatial Labs untuk kesan kandungan 3D seperti yang dimaksudkan.


Kesimpulan

SpatialLabs Eyes Stereo Camera akan dipasarkan sekitar Q3 2024 dengan harga jualan berbeza mengikut rantau. Spesifikasi dan ketersediaan yang tepat juga akan berbeza mengikut pasaran masing-masing. Melalui kamera ini juga, Acer seakan mula menampilkan sisi berani di luar zon selesa dalam menawarkan produk yang penuh inovasi. Begitu juga dengan perincian pada bahagian komponen dalaman tertentu yang menjadikan penggunaan produk baharu ini mampu memberi kesan lebih daripada memadai buat pengguna.

Komen