Minggu ini X/Twitter secara rasmi mengubah garis panduan perkhidmatan dengan ia secara rasmi membenarkan kandungan lucah dimuat naik oleh pengguna. Tindakan ini menguatkan lagi ura-ura bahawa Elon Musk kelak akan memperkenalkan ciri langganan kandungan dewasa yang membolehkan pengguna menjana pendapatan.

Semalam Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengatakan kerajaan melihat tindakan X ini sebagai melanggar undang-undang negara dan tidak dibenarkan sama sekali. Malaysia akan memanjangkan pandangan tegas kerajaan mengenai isu ini kepada pihak X kelak. Beliau walau bagaimanapun tidak mengeluarkan kenyataan sama ada X mungkin akan dihalang di Malaysia sekiranya ia terus membenarkan kandungan lucah dipaparkan.
Jika pendirian Malaysia disampaikan kepada X sekalipun, kami meramalkan tiada perubahan akan dilakukan oleh syarikat milik Elon Musk ini. Beliau berkali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa X ialah platform terbaik untuk kebebasan bersuara sehingga membenarkan kandungan berunsur perkauman, ganas dan berbahaya dipaparkan tanda sebarang halangan berbanding platform media sosial yang lain.