Carian
ASUS ROG “Project Dali” Adalah Laptop Gaming Dengan Skrin Kedua E-Ink Berwarna
June 6, 2024 Fahim Zahar

ASUS ROG adalah bahagian jenama komputer gaming yang cukup terkenal. Terdapat pelbagai produk menarik dari laptop, PC, GPU, telefon dan banyak lagi. Seperti Razer, ASUS juga gemar menggunakan RGB dan jalur LED untuk menghiasi produk gaming yang ringkas menjadi ranggi. Terbaru, ROG melakukan eksperiman dengan panel E-Ink berwarna.

Mereka menggabungkan konsep logo RGB Aura-lit dari siri ROG Strix, sistem LED Anime Matrix pada siri Zephyrus, dan teknologi AI generatif untuk konsep ini. Ia dinamakan sebagai Project Dali dengan panel belakang skrin laptop gaming yang mempunyai skrin kedua. ROG menyatakan ia seakan menggantikan konsep menampal pelbagai pelekat, cuma kini ia boleh dihiasi dengan imej AI generatif, logo ROG, pelbagai teks, animasi, atau imej rekaan pengguna tersendiri melalui skrin E-Ink berwarna.

Lebih menarik, ia tidak menjejaskan bateri laptop dan masih akan memaparkan apa yang telah ditetapkan walaupun laptop mati. Laptop prototaip yang diperlihatkan di acara Computex 2024 menggunakan model ROG Zephyrus G14. Di dalamnya terdapat aplikasi mengawal panel e-ink berwarna di belakang skrin.

Terdapat tiga pilihan iaitu Curated Designs yang ROG telah sedia reka untuk lebih mudah. Kemudian adalah Manual Editing untuk memberi pengguna kebebasan, dan akhir sekali adalah Tweakable Designs untuk pengguna pilih beberapa elemen dan sistem akan menjana tema menarik yang diperibadikan.

ASUS menyatakan produk ini mungkin akan dilancarkan pada sekitar tahun 2025. Buat masa ini mereka masih mengumpul maklum balas daripada orang ramai sama ada jika konsep ini menjadi realiti adakah ia akan menjadi tarikan ramai? Sama-sama kita nantikan.

Komen