Carian
Starship Akhirnya Mencapai Sasaran Penuh Dalam Ujian Pelancaran Keempat
June 6, 2024 Effi Saharudin

Pelancaran keempat kapal angkasa Starship ke angkasa telah dilakukan SpaceX dari Boca Chica Texas sebentar tadi dan akhirnya kapal angkasa ini berjaya memenuhi kesemua keperluan misi Integrated flight test 4 (IFT-4). Kedua-dua roket Super Heavy dan juga Starship berjaya kembali semula ke bumi seperti yang dirancang oleh SpaceX.

Di peringkat awal pelancaran, satu daripada 33 enjin Raptor pada Super Heavy tidak menyala. Sungguhpun begitu ia masih mampu melancarkan Starship ke angkasa lepas sebelum kembali ke bumi. Super Heavy kemudian kembali semua ke bumi untuk melakukan pendaratan di permukaan laut Teluk Mexico. Seperti roket Falcon 9, Super Heavy direka untuk kembali semula ke bumi dengan sendiri supaya boleh digunakan berkali-kali.

Kemudian tumpuan diberikan kepada Starship yang kali ini berjaya menghidupkan kesemua enam enjin membuatkan kapal angkasa ini bergerak pada kelajuan hampir 30,000km/j. Video pentriman daripada Starship terputus seketika menyebabkan ramai menyangka seperti tiga misi sebelum ini, Starship sekali lagi meletup. Tetapi isyarat video kembali selepas dua puluh minit memberikan visual Starship melakukan pendaratan secara menegak di Lautan Hindi, 66 minit selepas dilancarkan dari Texas, Amerika Syarikat.

SpaceX memerlukan misi IFT-4 berjalan mengikut perancangan kerana hanya empat hari lalu bilionwan Jepun Yusaku Maezawa membatalkan misi Dear Moon Project yang ingin membawa lapan individu mengelilingi bulan. Ia dibatalkan selepas Starship gagak disiapkan sepenuhnya untuk misi yang sepatutnya dilakukan pada tahun 2023. Kelewatan Space menyiapkan Starship juga telah mengakibatkan misi Artemis III yang membawa angkasawan kembali ke bulan ditangguhkan ke 2026.

Komen