Carian
DuckDuckGo AI Chat Diperkenalkan, Akses Pelbagai Chatbot Secara Awanama
June 7, 2024 Fahim Zahar

Cukup menarik melihat perkembangan teknologi AI generatif. Ia banyak membantu pengguna memudahkan lagi tugasan harian atau memberi inspirasi untuk menjadi lebih kreatif. Satu masalah yang paling digeruni oleh orang ramai adalah perkhidmatan AI generatif yang dilatih menggunakan data peribadi kita semua. Jika itu yang anda risaukan, DuckDuckGo AI Chat adalah chatbot AI untuk anda.

DuckDuckGo sedia menawarkan pelayar web yang menjaga keselamatan pengguna, serta melindungi data dan privasi pengguna. AI Chat baharu ini menyokong pelbagai model seperti GPT 3.5 Turbo, Claude 3 Haiku, Llama 3, Mixtral 8x7B dan banyak lagi yang bakal diintegrasikan. DuckDuckGo menjamin setiap perbualan dengan AI Chat tidak akan digunakan untuk melatih model AI dan akan dipadam dalam masa 30 hari.

Alamat IP pengguna juga tidak akan dikesan oleh AI Chat kerana ia akan dibuang dan diubah menggunakan alamat IP DuckDuckGo. Butang Fire diperkenalkan untuk memulakan semula perbualan dengan chatbot. AI Chat ditawarkan secara percuma dengan had kredit penggunaan harian. Akan datang, DuckDuckGo akan menawarkan pelan langganan untuk penggunaan AI Chat dengan had kredit lebih tinggi.

AI Chat ini boleh diakses melalui  duck.aiduckduckgo.com/chat, atau melalui laman hasil carian pada tab Chat, atau !ai atau !chat bang.

Komen