Carian
Meta Membangunkan Model AI Yang Boleh Menterjemah 200 Bahasa
June 7, 2024 Effi Saharudin

Antara isu terbesar dengan sistem kecerdasan buatan (AI) semasa ialah sokongan bahasa yang terhad. Contoh terbaik ialah ChatGPT yang tidak menyokong Bahasa Malaysia dan apabila disuruh menggunakan bahasa ini ia mula berbicara dalam Bahasa Indonesia yang amatlah berbeza. Meta telah mengumumkan model AI No Language Left Behind 200 (NLLB-200) yang menurut mereka ialah model bahasa raya (LLM) pertama yang boleh menterjemah 200 bahasa utama dunia.

Dalam ujian yang dilakukan berbanding LLM yang lain, NLLB-200 mempunyai prestasi 44% lebih baik dalam menghasilkan terjemahan berkualiti tinggi. NLLB-200 kini digunakan untuk membantu melakukan 25 bilion terjemahan di Facebook, Instagram dan platform lain milik Meta setiap hari. Meta mengatakan terjemahan yang tepat dalam lebih banyak bahasa boleh membantu mengesan kandungan berbahaya dan maklumat yang salah.

Selain di Meta, NLLB-2 kini juga digunakan bagi menghasilkan kandungan dalam bahasa yang pada waktu ini tidak mempunyai artikel yang banyak di Wikipedia. Sebagai contoh, Bahasa Lingala hanya mempunyai 3260 artikel sedangkan ia digunakan 45 juta penduduk di Republik Demokratik Congo. Pada waktu yang sama terdapat lebih 2.5 juta artikel dalam Bahasa Sweden walaupun ia hanya digunakan 10 juta penduduk.

Meta kini memberikan akses NLLB-200 kepada penyelidik dan mereka menyediakan geran sehingga $200,000 geran kepada NGO untuk mengaplikasikan LLM ini di dunia sebenar.

Komen