Carian
Amazon Mengambil Alih Sebahagian Daripada MX Player
June 7, 2024 Fahim Zahar

Anda pernah dengar nama MX Player? Jika ya, anda mungkin mengenalinya sebagai aplikasi memainkan fail media untuk peranti Android. Ia turut mempunyai aplikasi untuk iOS, tetapi di India MX Player terkenal sebagai perkhidmatan penstriman video di bawah Times Internet. Terbaru, Amazon dilaporkan telah membeli sebahagian daripada MX Player ini.

Menurut sumber, Amazon mengambil alih MX Player dengan nilai bawah $100 juta. Nilai syarikat ini diletakkan sebanyak $500 juta sebelum ini. Namun dikatakan kerana sudah dua tahun cuba menjual atas masalah kewangan, mereka bersetuju. Beberapa eksekutif MX Player akan diserap masuk ke dalam Amazon. Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi Amazon untuk mengembangkan perkhidmatan mereka ke kawasan terpencil di India.

Di India, MX Player adalah platform penstriman video ketiga paling popular selepas Hotstar dan Jio Cinema. MX Player turut popular di kalangan pengguna muda dan di kawasan bandar. Dengan Amazon masih bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan untuk harga langganan lebih mampu milik, mereka mengharapkan pengguna di kawasan kampung akan dapat menikmati perkhidmatan mereka dengan lebih mudah.

Sony dikatakan adalah antara calon lain yang berminat untuk mengambil alih MX Player bagi menggabungkan dengan perkhidmatan ZEE5 yang berada di tempat kedua terakhir sebagai platform penstriman video di India. Buat masa ini masih tidak pasti jika kandungan daripada MX Player akan dibawa ke peringkat global atau akan kekal terhad untuk pengguna India sahaja.

Komen