Carian
Infinix Bekerjasama Dengan BMW Group Designworks Untuk Siri Note 40 Racing Edition
June 10, 2024 Fahim Zahar

Nampaknya, Infinix juga ingin tumpan populariti bersama BMW mengikut strategi iQOO. Terbaru, Infinix telah bekerjasama dengan BMW Group Designworks untuk siri Note 40 Racing Edition. Peranti ini menyasarkan pengguna muda menggemari prestasi tinggi serta yang meminati acara perlumbaan.

BMW Group Designworks merekabentuk panel belakang, memilih bahan binaan serta jenis kemasan yang akan digunakan pada siri Note 40 Racing Edition. Seperti nama peranti, tiada perubahan spesifikasi kerana Racing Edition hanyalah Note 40 Pro+ 5G, Note 40 Pro 5G, Note 40 Pro, Note 40 5G, dan NOTE 40 dengan rekaan unik. Ciri seperti All-Round FastCharge 2.0, cip Cheetah X1, pengecasan pantas 100W Multi-Speed FastCharge, serta pengecasan seakan MagSafe – MagCharge dikekalkan.

Ekosistem Infinix MagKit, termasuk pelindung MagCase pengecas nirwayar MagPad dan power bank MagPower turut disokong pada siri Note 40 Racing Edition. Rekaan belakang peranti menggunakan kaedah cetakan UV dengan elemen tiga warna BMW yang ikonik dan mempunyai tambahan elemen beralun untuk cengkaman tambahan. Infinix turut menyediakan gambar latar, tema dan set nada dering bertemakan trek lumba kereta.

Siri Infinix Note 40 Racing Edition turut mengekalkan kerjasama bersama JBL untuk sistem speaker stereo, skrin 120Hz AMOLED, kamera 108MP dan ciri lampu RGB Active Halo AI. Peranti ini disahkan akan dijual di Malaysia, namun masih tidak pasti sama ada akan menerima set biasa atau set hadiah lengkap dengan kotak istimewa dan kaca mata hitam.

Komen