Carian
XPG Nia Ialah Konsol PC Mudah-alih Dengan Paparan Skrin Boleh Laras Dan Memori CAMM2
June 10, 2024 Nazrin

Di Computex Taipei 2024, diantara produk yang banyak diketengahkan adalah konsol PC mudah-alih dengan penawaran-penawaran oleh syarikat-syarikat seperti ASUS, MSI dan ZOTAC diperlihatkan. Terdapat satu lagi konsol yang tidak disangka akan ditawarkan, khususnya kerana ia ditawarkan oleh sebuah syarikat yang terkenal untuk penawaran memori dan storan.

ADATA, melalui jenama gaming mereka XPG telah memperlihatkan penawaran konsol mudah-alih PC mereka sendiri, iaitu XPG Nia yang hadir dengan sejumlah ciri-ciri yang cukup menarik sekali. Ia tampil dengan paparan skrin 7.0 inci dengan resolusi Full HD dan kawalan yang sudahpun lazim diperlihatkan pada konsol sebegini.

Tetapi XPG Nia terdapat beberapa ciri tambahan yang agak menarik yang menjadikannya sebuah konsol yang unik, seperti paparan skrin yang boleh dilaraskan ketinggiannya, sebuah kickstand di belakang seperti apa yang dilihat pada Lenovo Legion Go dan juga penggunaan cip pemprosesan AMD Phoenix Point yang akan diubahsuai khusus untuk konsol ini.

Bukan itu sahaja, ADATA juga mengesahkan bahawa komponen storan dan memori boleh diubahsuai dengan mudah, khususnya kerana konsol ini menggunakan storan SSD M.2 dan juga memori DDR5 LPCAMM2. ADATA mengatakan bahawa ruang untuk kedua-dua komponen ini adalah dibawah kickstand dan boleh diakses dengan cepat dan mudah.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah ADATA akan mula menjual atau membuka pra-tempah untuk konsol ini, khususnya kerana komponen APU AMD yang belum disahkan lagi, dan juga memori CAMM2 yang belum ditetapkan secara rasmi oleh pihak JEDEC.

ADATA mengatakan bahawa terdapat juga kemungkinan bahawa konsol ini akan dilancarkan melalui platform biayasama Kickstarter, tetapu buat masa ini mereka masih lagi menunggu tentang kepastian untuk beberapa perkara lagi.

Komen