Pada penghujung bulan Mac lalu, Illegear, pembangun komputer desktop dan komputer riba tempatan telah memperkenalkan siri komputer riba Illegear Vulcan NX dengan spesifikasi yang cukup berkuasa sekali.

Hari ini, Illegear telah memperlihatkan sebuah lagi komputer riba didalam siri Vulcan NX ini, iaitu Illegear Vulcan NX Arctic Edition dengan rangka komputer riba yang berwarna putih. Dari segi spesifikasi, Vulcan NX Arctic Edition ini memperlihatkan penggunaan paparan skrin 15.3 inci yang sama, bersama-sama bateri 99Wh dan penyesuai pengecasan 100W nipis dan ringan yang sama juga, yang boleh mengecas melalui palam USB Type-C yang terbina.

Dari segi komponen, komputer riba Vulcan NX Arctic Edition menawarkan satu pilihan CPU sahaja, iaitu Intel Core i7-14650HX, memori DDR5 16GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 bersaiz 500GB. Dari segi penawaran GPU pula, model Arctic Edition ini juga hadir dengan satu sahaja pilihan kad grafik, iaitu NVIDIA GeForce RTX 4060.
Untuk model asas, Illegear Vulcan NX Arctic Edition ini ditawarkan pada harga RM7220 dan anda boleh memilih untuk menaiktaraf komponen-komponen tertentu jika anda mahukan. Ia tampil dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E dan mempunyai palam Thunderbolt 4 yang menjanjikan kadar penghantaran data yang pantas.

Jika anda membeli komputer riba ini bersempena dengan promosi ulang-tahun ke-13 Illegear, anda juga boleh mendapatkan sejumlah penambah-baikan seperti memori DDR5 16GB tambahan, penaiktarafan storan SSD PCIe 4.0 ke 1TB, penggunaan bahan penyejukan CPU, beg galas percuma dan sebagainya yang bernilai RM1005.