Carian
Ulasan ASUS Vivobook S 16 OLED – Produktiviti Hebat Dengan Kaveatnya Tersendiri
July 25, 2024 Nazrin

2024 boleh diperlihatkan sebagai satu tahun dimana industri komputer akhirnya akan kembali ke tampuk kepimpinan dunia IT, khususnya apabila syarikat-syarikat pembuat cip pemprosesan seperti Apple, AMD, Intel dan Qualcomm memperlihatkan penawaran cip pemprosesan yang bukan sahaja menjanjikan yang berkuasa, tetapi juga penggunaan tenaga elektrik yang lebih cekap.

ASUS Malaysia telah menghantar komputer riba ASUS Vivobook S 16 (AMD) untuk kami ulas, dan ini adalah pengalaman kami sekitar beberapa minggu menggunakan komputer riba ini.

Rekaan Dan Spesifikasi

Nama ModelASUS Vivobook 16 S OLED (M5606UA)
Saiz Paparan16.0″ 3.2K (3200 x 2000) 16:10,
120Hz, 600 nits
PemprosesAMD Ryzen 7 8845HS
8 Teras
Cip GrafikAMD Radeon Graphics
RAM16GB LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD
1x M.2 2280 PCIe 4.0×4
KameraFull HD 1080P + pengatup privasi
Palam I/O1 x USB 3.2 Gen 1 Type-C
2 x USB 3.2 Gen 1 Type-A
1 x USB 4.0 Gen 3 Type-C
1 x HDMI 2.1 TMDS
1 x bicu audio 3.5mm
1 x pembaca kad MicroSD
Sistem OperasiWindows 11 Home
SekuritiImbasan Cap jari (Windows Hello)
Bateri75WHrs, 4S1P, 4-cell Li-ion
Pengecas 90W
HargaRM4,599

Bermula dengan paparan skrin komputer riba ini, ASUS VivoBook S 16 ini tampil dengan paparan skrin ASUS Luminus OLED bersaiz 16.0 inci dengan resolusi 3200×1200 pixel dengan nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi. Ia mempunyai nilai kecerahan 600 nits dan disahkan menyokong teknologi paparan DisplayHDR TrueBlack 500 dan boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3.

Penggunaan bingkai yang serba nipis di keempat-empat sisi paparan ini membolehkan VivoBook S 16 ini hadir dengan rekaan yang lebih menyerupai komputer riba 15 inci tradisional, tetapi dengan paparan bersaiz 16 inci.

Digabungkan dengan rangka yang diperbuat daripada aluminum, dan penggunaan komponen yang padat dan nipis yang membolehkan rangka Vivobook S 16 ini hadir setebal 1.39cm sahaja, dan tampil dengan berat 1.5kg yang membolehkan komputer riba ini dibawa kemana-mana sahaja, dan masih memberikan anda pengalaman produktiviti yang menggabungkan paparan skrin besar dan

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 7 8845HS dengan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB. Untuk kad grafik pula, ia tampil menggunakan cip grafik AMD Radeon 780M terbina dengan memori VRAM sebanyak 8GB yang menjanjikan kelas mesin produktiviti premium yang masih boleh menggerakkan permainan-permainan video tertentu pada resolusi HD dan Full HD tanpa masalah.

Dari segi sokongan palam, Vivobook S 16 tampil dengan dua palam USB Type-C, dimana salah satunya ialah USB 3.2 Gen 1, USB 4.0 Gen 3, dua palam USB 3.2 Gen1 Type-A, satu palam HDMI 2.1 TMDS dan satu pembaca kad MicroSD.

Dengan komputer riba ini, ASUS juga telah memperlihatkan penyesuai pengecasan bersaiz padat dan menggunakan palam Type-C untuk mengecas bateri 99Wh pada komputer riba ini dengan kadar yang cukup cepat sekali.

Satu perkara yang saya tidak suka mengenai komputer riba ini adalah bagaimana rangka aluminumnya menangkap kotoran daripada permukaan jari dengan sangat mudah. Sepanjang saya menggunakan komputer riba ini, saya telah menggunakan sebanyak 4 ke 5 kapas alkohol untuk membersihkan permukaan komputer riba ini.

Pengalaman Pengguna

Komputer riba dengan paparan skrin bersaiz 16 inci secara lazimnya mungkin dilihat sebagai “terlalu besar” dan sukar untuk dibawa kemana-mana. Tetapi seperti apa yang saya katakan sebelum ini, paparan skrin Vivobook S 16 OLED mempunyai paparan dengan bingkai yang nipis, menjadikannya komputer riba yang lebih padat berbanding dengan komputer riba lain.

Saya menggunakan komputer riba ini selama beberapa minggu sebagai komputer riba produktiviti harian di pejabat. Untuk tujuan ini, saya boleh katakan bahawa ASUS Vivobook S 16 ini adalah komputer riba yang cukup baik sekali dari pelbagai aspek.

Pertama ialah kuasa pemprosesannya dan juga memori tinggi yang membolehkan saya membuka lebih dari 20 tab sekaligus tanpa masalah, tidak kira samada saya menggunakan kuasa bateri komputer riba ataupun disambungkan ke soket elektrik.

Paparan skrin OLED yang cerah juga menjanjikan pengalaman produktiviti dan riadah yang selesa untuk mata saya, tidak kira saya menggunakan komputer riba ini untuk menulis artikel, mengedit gambar ataupun menonton video.

Bercakap mengenai riadah, ASUS Vivobook S 16 ini juga boleh digunakan untuk menggerakkan beberapa permainan video yang tidak memerlukan kemampuan grafik yang begitu tinggi. Pengalaman saya memainkan permainan seperti Diablo 4, Wuthering Waves dan Honkai Star Rail pada komputer riba ini adalah lengkap bagi saya, dimana saya boleh menggerakkan kedua-dua permainan ini pada resolusi Full HD dan kadar bingkai 60FPS, dengan Diablo 4 menggunakan tetapan grafik sederhana.

Jumlah palam yang banyak (khususnya USB Type-C dan Type-A) membolehkan saya menyambungkan pelbagai jenis aksesori pada peranti ini tanpa masalah. Bercakap mengenai palam, untuk mengecas komputer riba ini, anda boleh menggunakan pengecas 65W dan menyambungkan kabel USB Type-C kepada mana-mana palam USB Type-C pada komputer riba ini, dan ia akan mengecasnya secara pantas.

Sepanjang pengalaman saya menggunakan komputer riba ini juga, saya tidak pernah menghadapi isu bahagian papan kekunci menjadi panas, walaupun apabila saya menggunakan komputer riba ini sambil ia dicas.

Satu tip yang saya boleh berikan kepada anda ialah berkenaan kadar segar semula paparan ini. Di atas kertas, ASUS Vivobook S 16 ini hadir dengan kadar segar semula 120Hz, tetapi dalam pengalaman saya, ciri ini nampaknya tidak diaktifkan secara lalai dan boleh diaktifkan melalui tetapan pada sistem operasi Windows.

Menu ini boleh diakses melalui tetapan System > Display > Advanced Display dimana tetapan 120Hz boleh dipilih untuk mendapatkan paparan dengan kadar segar semula lebih pantas dimana efek ghosting dapat dikurangkan apabila menonton kandungan beraksi tinggi dan untuk pengalaman menatal kandungan laman web yang lebih lancar.

Apabila menggerakkan permainan komputer khususnya, bunyi kipas penyejuk mungkin akan kedengaran, tetapi ia cukup berkuasa untuk memastikan bahawa komponen CPU dan GPU tidak melebihi tahap suhu yang tertentu.

Penanda-aras

Ini adalah beberapa skor penanda aras yang kami gunakan untuk menguji kemampuan komputer riba ini.

PCMark

3DMark Skydiver

Crystal DiskMark

Bateri

Asus Vivobook S 16 ini hadir dengan bateri 75Wh yang mana ia mungkin kelihatan sedikit rendah untuk komputer riba dengan paparan skrin bersaiz 16 inci, tetapi pengalaman saya menggunakan komputer riba ini, saya boleh katakan bahawa secara purata, jangka hayat bateri komputer riba ini dengan satu pengecasan penuh ialah sekitar 10 jam.

Bergantung kepada corak penggunaan anda, anda boleh cuba untuk mendapatkan jangkahayat yang sedikit lebih lama, tetapi bagi saya, dengan nilai kecerahan paparan sekitar 75 peratus dan menggunakan sambungan WiFi, 10 jam adalah yang sebaik saya dapat dengan komputer riba ini.

Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang anda akan dapat apabila anda membeli komputer riba ASUS Vivobook S 16 ini:

  • 1x ASUS Vivobook S 16
  • 1x Pengecas 65W USB Type-C
  • 1x Manual

Penutup

Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba kelas produktiviti yang menggabungkan rekaan nipis dan ringan, paparan skrin besar, prestasi hebat dan juga jangka-hayat bateri yang panjang, ASUS Vivobook S 16 yang dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen 7 8845 HS ini adalah pilihan yang cukup baik sekali.

Pada harga RM4699, tanda harga komputer riba ini mungkin agak keras untuk kegunaan biasa, tetapi dengan kemampuannya untuk menjalankan pelbagai jenis tugas, tidak kira untuk tujuan produktiviti mahupun riadah, bagi saya ia adalah satu harga yang cukup berbaloi sebagai sebuah pelaburan untuk jangka masa yang lama.

Pro:

  • Rekaan komputer riba yang ringan dan padat
  • Paparan skrin OLED besar
  • Prestasi CPU AMD yang cukup hebat
  • Jangkahayat pengecasan tahan lama

Kontra:

  • Tanda harga mahal
  • Bunyi kipas kuat
  • Rangka yang senang menangkap kotoran
Komen