Di Computex turut terdapat pelbagai jenis monitor diperlihatkan. Ada yang menggunakan kaca mata sebagai skrin digital, ada yang menggunakan projektor, tidak mengejutkan monitor AI pun ada diperlihatkan dan ASUS juga tidak ketinggalan kerana pelbagai monitor mereka telah ditunjukkan di acara ini. Antaranya adalah Asus ZenScreen Smart MS27UC iaitu monitor pintar dengan Google TV.

Penggunaan monitor seperti ini masih tidak mempunyai permintaan yang ramai menurut Prism+, kebanyakan televisyen sudah pintar jadi orang ramai tidak mencari monitor pintar. Apa pun, Asus jelas sekali mengikut Samsung dengan siri M mereka yang menjalankan Tizen OS jadi mereka pun ingin menawarkan siri ZenScreen dengan Google TV.

ZenScreen Smart MS27UC seperti namanya adalah monitor dengan skrin 27-inci daripada panel IPS beresolusi 4K dengan speaker Harmon/Kardon 5W terbina di hadapan. Asus menggunakan rekaan bezel nipis dengan dagu yang memaparkan logo adalah speaker. Di belakang monitor ini terdapat ruang kecil untuk menyimpan papan kekunci, kabel, tetikus dan aksesori kecil lain.

Monitor ini turut dilengkapi dengan port sambungan DP 1.4, HDMI 2.0, USB-C dengan PD 90W, dua USB-A, sokongan WiFi, Bluetooth 5.0 serta perkongsian skrin Miracast terbina. Asus memilih Google TV versi Android 11 untuk perisian utama pada monitor ini. Buat masa ini, harga dan tarikh jualan masih belum diumumkan tetapi dikhabarkan akan dijual sekitar bulan Julai atau Ogos bersama-sama dengan barisan laptop AI PC dan Copilot+ nanti.