Carian
Kamera Panasonic LUMIX GH7 Dilancarkan Dengan Sensor 25.2 MP M4/3
June 10, 2024 Amy Maizuraa

Kamera digital Panasonix LUMIX GH7 telah dilancarkan secara rasmi dengan sensor BSI CMOS 25.2 Megapixel micro 4:3. Ia merupakan sensor yang sama seperti GH6 namun dikemaksini dengan keupayaan pemprosesan imej lebih pantas untuk kualiti yang bertambah baik. Selain terdapat juga sokongan sistem penstabilan IBIS 5 paksi terbina dengan maksimum 7.5 hentian disertakan bersama.  

Sensor juga menawarkan julat kadar sensitiviti pencahayaan standard diantara ISO100 – 25,600 untuk kedua-dua rakaman video dan imej pegun. Kemampuan video pula sehingga resolusi 5.7K 30p dalam format 422 HQ dan Apple ProRes RAW HQ. Pada masa sama turut mampu merakam pada resolusi standard FHD dalam 10-bit 4:2:2 sehingga 240FPS dan 4:2:2 10-bit C4K/4K pada 60P.

Sistem autofokus juga disokong oleh teknologi AI untuk kemampuan mengesan sebarang subjek dengan cepat dan tepat. Rakaman audio yang disokong pula adalah dari jenis 32-bit terapung yang menurut Panasonic buat kali pertamanya digunakan pada sebuah kamera. Melaluinya pengguna tidak lagi perlu melaraskan tahap rakaman audio sewaktu merakam apabila digunakan bersama penyesuai mikrofon XLR baharu – Lumix DMW-XLR2 (dijual secara berasingan).

Kemudian pengguna turut boleh menggunakan LUT tersesuai pada imej dan video secara langsung melalui ciri Lumix Real Time LUT. Panasonic LUMIX GH7 juga diintegrasikan dengan Frame.io untuk memuat-naik foto dan video terus ke storan awanan tanpa memerlukan aksesori tambahan. Sebuah skrin sesentuh yang boleh digerakkan juga disediakan sebagai pelengkap.

Panasonic Lumix GH7 akan tersedia penguhujung Julai akan datang dengan harga £ 1999.99 (~RM11,992), sementara itu DMW-XLR2 pula berharga £ 499.99 (~RM 2,998) seunit.

Komen