Carian
OPPO Find X7 Ultra – Pengalaman Menggunakan Kamera Dengan Dwi Periskop Pertama Di Dunia
June 12, 2024 Rihhadatul Aisy

Keupayaan sebuah kamera yang canggih memainkan peranan yang amat penting dalam dunia fotografi. Terdapat pelbagai kepentingan dalam sebuah kamera yang canggih serta pengaruhnya terhadap hasil gambar yang diambil. Jika anda tanyakan kepada kami, apakah antara kepentingan bagi sebuah kamera canggih untuk hasil gambar yang mengagumkan maka ada beberapa elemen yang boleh menjadi kayu pengukurnya.

Antaranya ialah, hasil kualiti gambar yang mengagumkan dengan keperincian yang jelas dan terang. Kemudian ialah suntikan inovasi dan fungsi tambahan di dalamnya serta kemampuan kamera tersebut untuk merakam video yang baik.

Cukup mengujakan apabila kesemua elemen penting tersebut boleh didapati dalam sebuah kamera Oppo Find X7 Ultra. Bagai mimpi jadi nyata, setiap tangkapan gambar yang diambil menggunakan kamera Oppo Find X7 Ultra ini memberikan hasil gambar seolah-olah ia diambil dan disunting oleh seorang profesional.

Beruntungnya, kami di Amanz telah dijemput ke acara Oppo Cultural Imaging Tour di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini. Menerusi acara berkenaan, kami berpeluang untuk menggunakan kamera Oppo Find X7 Ultra dan memanfaatkan semua kelebihan dan fungsi padanya.

Kamera OPPO Find X7 Ultra ini menawarkan empat lensa kamera 50MP yang cukup canggih dengan dua daripadanya ialah kamera zum periskop dimana ia boleh merapatkan jurang zum antara jarak fokus optik sekaligus menjadikannya sebagai kamera dengan dwi-periskop pertama di dunia. Pertamanya ialah, kamera lebar 50MP (Sony LYT-900), f/1.8 dan OIS. Kemudian disokong juga dengan 50MP (Sony LYT600), f/2.0 untuk kamera ultra-lebar.

Kamera ketiga pula dilengkapi dengan lensa 50MP (Sony IMX890), f/2.6, telefoto periskop dengan zum optikal 3X. Kamera terakhir juga 50MP (Sony IMX858), f/4.3, telefoto periskop dengan zum optikal 6X dan digital sehingga 120X. Kamera terbina pada OPPO Find X7 ini menjadi lebih lengkap dengan adanya sistem kamera Hasselblad bagi hasil gambar dan video yang lebih baik.


Fungsi fotografi menarik pada OPPO Find X7 Ultra

1. Sistem Kamera HyperTone

Sistem kamera HyperTone pada Oppo Find X7 Ultra adalah salah satu ciri utama yang menjadikan telefon pintar ini luar biasa. Sistem ini menggabungkan empat kamera utama dengan sistem kamera HyperTone yang canggih sekaligus menghasilkan kualiti gambar yang mengagumkan. Hasil gambar yang diambil tetap saja mempamerkan warna yang terang dan terlihat semula jadi. Hasil gambar ultra-lebar juga memperlihatkan kualiti yang mengagumkan dengan jarak pandang yang lebih luas. Bukan itu sahaja, prestasi kamera tetap saja unggul dalam fotografi makro dengan keperincian yang cukup tajam dan mengagumkan.

Kualiti zum pada Oppo Find X7 Ultra ini juga sangat mengagumkan dengan ia dilengkapi dua kamera telefoto periskop yang masing-masing mempunyai zum optik 3X dan 6X dan mampu mencapai julat zum efektif dari 14mm hingga 270mm tanpa menjejaskan kualiti gambar yang diambil berserta zum digital sehingga 12X. Teknologi OIS yang menjanjikan hasil gambar tetap saja jelas, terang dan stabil.

2. Potrait Mode

Kerjasama dengan Hasselbald untuk keunggulan kamera pada Oppo Find X7 Ultra ini layak menerima pujian kerana hasil potret yang ditunjukkan adalah cukup cantik dan boleh kami katakan hampir saja sempurna. Mod Potret pada kamera menyokong tangkapan gambar dengan focal length yang berbeza iaitu 1X (23mm), 2X (47mm), 3X (65mm) dan 6X (135mm) yang masing-masing berkemampuan untuk menghasilkan mod potret dengan kedalaman bokeh yang berbeza mengikut kesesuaian dalam latar belakang gambar.

Hasil gambar potret yang diambil menunjukkan kesan bokeh yang sinematik dengan ia dapat mengesan objek dan latar belakang dengan cukup cemerlang. Ketajamanan gambar juga dapat dilihat dengan jelas meskipun dalam pencahayaan yang rendah. Apa yang lebih kami kagumi pada kemampuan ciri mod potret pada kamera ini ialah hasil gambarnya yang kurang hingar sekaligus menjadikan gambar terlihat tajam dan bersih dari sebarang hingar warna dan cahaya.

3. Master Mode

Lebih menarik lagi kamera Oppo Find x7 Ultra ini turut menyertakan ciri Master Mode yang membolehkan tetapan ISO, shutter speed (S), exposure value (EV), fokus (AF/MF) dan white balance (WB) diubah secara manual. Ini membolehkan kami menyesuaikan sendiri setiap tetapan mengikut kemahuan dan keperluan.

Bukan itu sahaja, bersama-sama ciri Master Mode ini, tetapan lain seperti kontras, saturation, ketajaman dan vignette juga boleh diubahsuai jika gambar diambil dalam format JPG. Pilihan untuk mengambil gambar dalam tetapan format RAW dan RAW MAX juga tersedia. Tangkapan gambar ultra-lebar dengan 0.6X sehingga tetapan zum 6X juga boleh diambil menggunakan fungsi Master Mode ini.

4. Video 4K

Oppo Find X7 memiliki kebolehan merakam sehingga resolusi 4K pada 60fps dengan Dolby Vision HDR bersama keupayaan fokus dari empat kamera, ia sekaligus memberikan hasil rakaman video yang berkualiti dan stabil. Sistem kameranya juga menyokong rakaman video 10-bit HDR yang memberikan hasil warna video yang terang dan keperincian yang lebih baik. Kamera ini juga dilengkapi dengan teknologi penstabilan yang menjadikan hasil video yang dirakam tetap stabil dan bebas daripada gegaran yang melampau bersama pilihan tetapan zum yang boleh mencapai sehingga 6X.

5. X Pan Mode

Meningkatkan lagi kreativiti dalam dunia fotografi, Oppo mengekalkan kebolehan mengambil gambar dalam ciri X Pan Mode. Kami secara peribadi merasakan ia adalah satu fungsi yang menarik untuk mengambil gambar dalam perspektif yang unik dan berbeza. Gambar yang diambil menggunakan X Pan Mode ini seakan-akan gambar dengan gaya fotografi klasik bersama nisbah aspek 65:24 yang memberikan hasil gambar yang menarik serta menyerlahkan lagi kesenian dalam fotografi.

6. AI Eraser

Kemampuan AI pastinya turut disuntik dalam kemampuan kamera Oppo Find X7 ULtra ini dimana ia membolehkan sebarang objek yang berada dalam gambar dipadam tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan hasil gambar yang realistik dan cantik. Ini secara tidak langsung membolehkan hasil gambar terlihat lebih profesional serta menjana kreativiti dalam seni fotografi. Melaluinya, hasil gambar yang sempurna dapat dihasilkan di mana sahaja pada bila-bila masa.

Sebelum/Selepas disunting dengan AI Eraser

Bersama-sama dengan semua fungsi dan kelebihan yang terbina pada kamera Oppo Find X7 Ultra ini menjadikan setiap detik mengujakan serta keindahan tradisi, budaya dan seni sepanjang lawatan kami ke Chiang Mai, Thailand dapat diabadikan. Kesemua teknologi canggih dan fungsi AI yang tersedia pada kamera menjadikan hasil gambar tampak profesional dan membolehkan kami menangkap sudut kecil dunia dengan cara yang berbeza.

Boleh kami katakan di sini bahawa kamera Oppo Find X7 Ultra ini bukan hanya sebuah kamera biasa tetapi sahabat setia untuk setiap tangkapan yang bermakna. Ingatlah bahawa, sebuah kamera yang canggih bukan sahaja membolehkan kita mengambil gambar yang lebih baik tetapi juga dapat membuka peluang untuk kreativiti dan eksplorasi dalam dunia fotografi yang lebih baik dan mengagumkan.

Namun, satu perkara kami harus maklumkan di sini, Oppo Find X7 Ultra tidak akan memasuki pasaran Malaysia. Sebaliknya dalam masa yang terdekat ini Oppo bakal hadir dengan penawaran terbaru daripada siri Reno mereka yang dijamin tidak kurang hebatnya. Jadi, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi siri terbaru Reno daripada Oppo kelak.

Komen