Carian
Microsoft Berminat Menghasilkan Xbox Mudah Alih Seakan ROG Ally
June 10, 2024 Effi Saharudin

CEO bahagian gaming Microsoft, Phil Spencer memberikan petunjuk paling jelas setakat ini bahawa Xbox versi mudah alih mungkin akan dibangunkan. Dalam temubual bersama IGN, Spencer mengatakan “Saya rasa kita harus mempunyai konsol mudah alih juga” apabila menjawab soalan mengenai kewujudan konsol Xbox mudah alih.

Beliau menambah konsol ini adalah lebih ASUS ROG Ally yang boleh menjalankan permainan dan bukannya seperti PlayStation Portal yang sekadar menstrim permainan daripada PS5. Dengan pelancaran cip Intel Lunar Lake, AMD Z1 Extreme dan Snapdragon X Elite, konsol Xbox mudah alih masih mampu menawarkan kemampuan grafik yang baik.

Sebagai peminat permainan konsol, saya memang mahukan konsol mudah alih dengan kemampuan grafik yang baik. Cuma saya boleh berharap apabila Xbox ini dilancarkan kelak, ia akan dipasarkan secara rasmi di Malaysia. Walaupun sudah wujud sejak 2001, Microsoft masih enggan menyokong konsol mereka di negara kita tanpa sebarang sebab yang jelas diberikan.

Komen