Carian
Nokia Melakukan Panggilan Video Dengan Audio 3D Spatial Pertama Dunia
June 10, 2024 Effi Saharudin

Teknologi audio spatial telah digunakan pada perkhidmatan penstriman muzik dan juga di Apple Vision Pro. Tetapi Nokia kini mengumumkan mereka telah melakukan panggilan video dengan audio spatial menerusi rangkaian selular pertama dunia. Panggilan dilakukan di antara CEO Nokia Pekka Lundmark dan Stefan Lindström, Duta Pendigitalan dan Teknologi Baharu Finland.

Menurut Nokia panggilan dilakukan dengan audio yang kedengaran realistik seakan bercakap dengan individu yang benar-benar berada di depan mata berbanding audio 2D sekarang. Tiada perubahan perlu dilakukan pada telefon sedia ada untuk melakukan panggilan ini. Sebaliknya ia hanya perlu menyokong codec Immersive Voice and Audio Services (IVAS) yang merupakan sebahagian piawaian 5G Advanced yang akan diperkenalkan kelak.

Teknologi Immersive Voice dibangunkan oleh konsortium 13 syarikat yang dianggotai oleh Nokia. Mereka telah memperlihatkan teknologi ini sejak 2022 dengan pada waktu tersebut ia hanya sekadar sebuah demo.

Komen