Apple hari ini mengumumkan kemaskini sistem operasi visionOS untuk set kepala mereka, Apple Vision Pro. Selari dengannya juga, Apple turut mengumumkan akan menawarkan set kepala mereka tersebut di beberapa buah negara, termasuk negara jiran Singapura.

Apple mengatakan bermula 28 Jun 2024 kelak, Apple Vision Pro akan ditawarkan di China, Jepun dan juga Singapura. Lanjutan daripadanya, pada 12 Julai 2024, Apple Vision Pro akan ditawarkan di UK, Australia, Kanada, Perancis, dan juga Jerman.
Buat masa ini, Apple tidak menyatakan lagi bilakah negara-negara lain akan menerima set kepala berkenaan – termasuk di Malaysia. Memandangkan permintaan dan penggunaan untuknya masih terhad, maka kita mungkin perlu menantikan beberapa bulan atau tahun sebelum melihat set kepala ini ditawarkan secara meluas di seluruh dunia.