Carian
Apple Intelligence Diumumkan – Model AI Yang Berjalan Terus Pada Peranti, Dengan Fokus Privasi
June 11, 2024 Aman

Apple hari ini berkongsi berkenaan strategi dalam arena kecerdasan buatan mereka, melalui apa yang dipanggil Apple sebagai Apple Intelligence. Apple bijak menggunakan nama berkenaan, dan menjadikan ia singkatan kepada AI. Ciri kecerdasan buatan ini akan ditawarkan oleh Apple melalui peranti Apple seperti iPhone, iPad dan juga Mac.

Apple menyatakan model kecerdasan buatan mereka ini adalah lebih baik berbanding yang lain di pasaran kerana mementingkan privasi, dan pada masa yang sama memberikan konteks mengikut seseorang pengguna. Ia boleh bijak menganalisa pelbagai kandungan dalam peranti, dan memberikan jawapan kepada pertanyaan atau persoalan pengguna. Model AI ini dijalankan terus pada peranti, dan melalui gambaran kasar yang diberikan, ia boleh berjalan pada iPhone menggunakan Apple A17 Pro, atau MacBook yang menggunakan Apple M1 dan terkini.

Menggunakan Apple Intelligence, ia boleh melakukan sejumlah perkara, termasuk menyusun notifikasi mengikut kepentingan dan keutamaan, membantu pengguna dalam menulis, menjana gambar dan imej, selain turut diintegrasikan pada Siri dalam memberikan konteks dan perbualan yang biasa tanpa perlu menekankan kata kunci pada setiap pertanyaan.

Apple turut mengumumkan akan menawarkan sokongan Private Cloud Compute untuk keperluan penjanaan dan pemprosesan data yang lebih tinggi, berbanding hanya dijalankan pada peranti sahaja.

Pada acara pengumuman ini juga, Apple mengatakan akan membuka kebolehan integrasi model-model kecerdasan buatan berbeza ke peranti pengguna. Dan untuk permulaan, mereka telah mengintegrasikan sokongan ChatGPT – membolehkan pengguna mengaksesnya terus melalui Siri dan perkhidmatan lain, secara percuma tanpa perlu sebarang akaun berdaftar.

Pelbagai ciri yang diumumkan dibawah Apple Intelligence ini akan diperkenalkan secara berperingkat melalui kemaskini sistem operasi iOS dan macOS akan datang, dan akan terhad kepada bahasa Inggeris untuk peringkat permulaan.

Komen