Bersama-sama pengenalan Apple Intelligence, Apple turut mengumumkan nafas baharu Siri yang bukan sahaja membawa keupayaan lebih baik, tetapi juga diberikan rekaan dan kesan animasi yang baharu. Kemaskini Siri ini dijangka ditawarkan kepada pengguna secara berperingkat, sekitar 2025 kelak.

Siri baharu ini dikuasakan oleh Apple Intelligence, sekaligus membolehkan ia memahami konteks dan berinteraksi dengan lebih baik. Pengguna juga tidak perlu mengulang kata kunci berulang kali dalam bertanyakan kepada Siri.
Disamping itu, pengguna turut boleh bertanyakan pelbagai perkara berkaitan kandungan atau informasi dalam peranti, dan Siri akan memberikan maklumbalas berkaitan dengannya. Apple turut menyatakan Siri turut boleh membantu dalam menjawab pelbagai pertanyaan dan bantuan berkaitan penggunaan peranti.

Selain bertanyakan secara suara, pengguna juga kini boleh menaip sebarang pertanyaan atau arahan, dan Siri akan memberikan respon untuknya. Untuk menaip, pengguna boleh mengaksesnya daripada skrin kunci iPhone, dan bertanyakan terus kepada Siri. Apple turut memperlihatkan demo untuk mengarahkan Siri menjadikan gambar lebih kemas pada aplikasi Photos, dan ia melakukannya dengan mudah.

Dengan pengenalan baharu ini, sama-sama kita nantikan adalah Siri akan mula digunakan secara aktif kembali oleh semua pengguna – selain hanya menggunakannya ketika beberapa keadaan seperti memandu sahaja.