Carian
Sooka TV Stick Kini Rasmi – Dongel TV RM349 Dengan Akses Sooka Percuma
June 11, 2024 Fahim Zahar

Hari ini Astro secara rasminya telah melancarkan sooka TV Stick iaitu dongel televisyen tersendiri mereka yang boleh mengubah mana-mana televisyen menjadi televisyen pintar. Lebih menarik dengan dongel ini semua televisyen kini boleh menjalankan aplikasi Sooka dengan mudah.

Dengan dongel TV sooka ini, pengguna boleh terus mengakses kandungan menarik dalam sooka tanpa sebarang langganan. Ini kerana sooka TV Stick menggunakan pelancar tersendiri di atas Android TV 12 dengan pintasan kepada pelbagai saluran televisyen serta kandungan eksklusif termasuk siaran langsung sukan.

Dongel ini menggunakan konsep Plug & Play melalui HDMI. Dua pakej utama ditawarkan iaitu TV Stick + 1M Premium atau TV Stick + 12M Premium yang memberikan pengguna kelebihan sama dengan pelan VIP.

Pakej pertama adalah dongel sahaja pada harga RM349 sementara pakej kedua adalah langganan pelan Premium setahun berharga RM579 dengan dongel percuma (bayaran ansuran sebulan RM50). Setiap pembelian kali pertama turut layak menerima langganan Disney+ Hotstar untuk 3 bulan secara percuma.

sooka TV Stick mempunyai fungsi lebih kurang sama dengan dongel Android TV lain. Ia menyokong kawalan suara (dengan Google Assistant), akses kepada Google Play Store untuk memuat turun pelbagai aplikasi lain Viu, YouTube, HBO Max dan banyak lagi, serta berkongsi kandungan dari skrin telefon ke TV dengan Chromecast.

Buat masa ini Netflix tidak disokong tetapi akan berubah di masa akan datang. Perkara lain yang akan diberikan dalam kemas kini akan datang adalah penstriman 4K untuk kandungan sooka kerana sekarang terhad kepada FHD.

Untuk penstriman 4K dan Dolby Atmos, ia masih boleh dinikmati melalui aplikasi terpilih lain. Kawalan juga mudah dengan alat kawalan khusus yang diberikan secara percuma. Perkara paling menarik adalah, dengan pembelian sooka TV Stick tidak kira mana-mana pakej pengguna tidak akan terikat dengan kontrak seperti langganan Astro.

sooka TV Stick ini boleh dibeli melalui laman web rasmi Sooka. Wakil Astro turut mengesahkan dongel TV ini akan dijual di kedai-kedai elektronik lain. Astro menjanjikan dengan pembelian Sooka TV Stick ini pengguna boleh berjimat sehingga RM440 dan dongel ini menyasarkan penggunaan mudah untuk semua kategori pengguna.

Komen