Carian
CelcomDigi One Ultra Diperkenalkan – Pada Harga Pengenalan RM261 Sebulan Untuk Talian 5G Tanpa Had + Internet 300Mbps
June 11, 2024 Nazrin

CelcomDigi, syarikat pengelola perkhidmatan telekomunikasi tempatan hari ini telah mengumumkan pelan telekomunikasi keluarga terbaru mereka yang dinamakan CelcomDigi One Ultra.

Pelan keluarga terbaru ini memberikan pelanggan tiga nombor telefon mudah-alih yang terdiri daripada satu talian utama dan dua talian tambahan pascabayar yang mana ketiga-tiga talian ini akan hadir dengan sambungan internet 4G dan 5G percuma.

Dalam pada itu, langganan One Ultra juga akan memberikan anda internet 300Mbps yang disertakan bersama-sama penghala WiFi6 dan juga pemasangan yang akan dilakukan secara percuma. Pilihan peranti 5G dari jemama seperti Samsung, Vivo, Honor, Oppo dan Realme juga akan ditawarkan kepada anda pada harga RM1 untuk setiap peranti.

Bukan itu sahaja, langganan One Ultra akan hadir dengan langganan perkhidmatan penstriman televisyen dan filem popular Disney+ Hotstar yang digunakan pada 10 peranti, dan distrimkan kepada tiga peranti sekaligus.

Untuk waktu promosi ini, CelcomDigi menawarkan pelan One Ultra ini pada tanda harga RM261 sebulan, sedikit lebih murah berbanding harga asalnya pada RM321. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelan ini, anda boleh melayari laman web CelcomDigi One Ultra sekarang.

Pelanggan baharu dan sedia ada boleh mendaftar pelan ini dengan mengunjungi cawangan Celcom bluecube, Rakan Bertauliah Celcom, Digi Store atau Digi Store Express yang berdekatan.

Sumber: Terima kasih kepada @Oppahmi di Twitter/X untuk tip mengenai pelan ini.

Komen