Carian
Spotify Dijangka Perkenal Pelan Berharga Lebih Mahal Dengan Akses Audio HiFi
June 11, 2024 Aman

Spotify kini dilaporkan bakal memperkenalkan pelan baharu berharga lebih mahal, kelak pada tahun ini. Pelan baharu ini dijangka menyasarkan para peminat muzik dan audio, dan akan menawarkan sokongan audio berkualiti tinggi, selain kemudahan untuk menghasilkan senarai main dan sebagainya.

Mengikut laporan Bloomberg, pengguna dikatakan akan dikenakan caj tambahan mencapai $5 sebulan untuk pelan baharu ini. Pelan baharu ini akan ditawarkan kepada pelanggan sedia ada, sekaligus membolehkan Spotify menjana pendapatan tambahan melaluinya.

Sebelum ini, pihak Spotify sedia mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan ciri audio HiFi pada tahun 2021 lepas, namun ia masih belum diperkenalkan sehingga kini. Pesaing penstriman muzik lain seperti Apple Music dan Amazon Music sedia menawarkan muzik berkualiti tinggi ini sebagai sebahagian penawaran mereka.

Ia tidak diketahui sama ada ramai akan melanggan Spotify HiFi atau sebaliknya. Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi Spotify untuk penawaran ini tidak lama lagi.

Komen