Carian
MediaTek Juga Membangunkan Cip Pemprosesan Untuk Komputer Riba AI Microsoft
June 12, 2024 Nazrin

Seperti yang sedia maklum, Qualcomm mempunyai perjanjian eksklusif dimana semua komputer riba AI yang menggunakan sistem operasi Microsoft Windows 11 For ARM akan dikuasakan oleh cip pemprosesan mereka sahaja selama setahun.

Walaupun begitu, perkara ini tidak menghentikan sebuah lagi syarikat pembuat cip pemprosesan ARM, iaitu MediaTek daripada membangunkan cip pemprosesan untuk komputer riba ARM mereka sendiri. Reuters telah melaporkan bahawa syarikat tersebut akan memperkenalkan cip pemprosesan mereka sendiri untuk segmen produk ini.

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai perkara ini buat masa ini, tetapi menurut sumber-sumber Reuters di syarikat tersebut, MediaTek dijangka akan memperlihatkan cip-cip pemprosesan ini sekitar penghujung tahun hadapan apabila perjanjian eksklusif diantara Qualcomm dan Microsoft tamat.

Ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana syarikat-syarikat ini lazimnya akan memerlukan sekitar setahun untuk membangunkan cip pemprosesan seperti ini, dan ia dijangka bahawa apabila tempoh eksklusif diantara Microsoft dan Qualcomm tamat. MediaTek juga akan dapat memperlihatkan penawaran Windows for ARM mereka sendiri.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi samada Microsoft akan memasukkan MediaTek kedalam program komputer riba Copilot+ PC mereka ataupun tidak kelak. Microsoft sudahpun menetapkan keperluan 40 AI TOPS dan memori LPDDR5 16GB sebagai keperluan asas untuk memasuki program tersebut buat masa ini.

Komen